Hina Mendiang Berpangkat ‘Datuk’, Lelaki Disebat 47 Kali

GEORGETOWN – Video seorang lelaki bertatu disebat betubi-tubi dengan menggunakan hos getah menjadi viral di media sosial.

Mangsa dipercayai disebat sebanyak 47 kali tanpa belas kasihan oleh sekumpulan lelaki gara-gara didakwa menghina seorang lelaki berpangkat ‘Datuk’ yang telah meninggal dunia di laman sosial Facebook.

Dipercayai lokasi kejadian berlaku di rumah pengurusan mayat di Tanah Perkuburan Khoo Kongsi, Air Hitam di sini, Jumaat lalu.

Menerusi rakaman berdurasi satu minit 42 saat itu, mangsa pada mulanya ditanya dalam bahasa Hokkien sama ada mengenali ‘Datuk’ itu, yang kemudiannya terus disebat selepas dia menjawab ‘ya’.

Mangsa merayu beberapa kali agar berhenti dipukul, namun tidak diendahkan.  Lebih teruk lagi, beberapa lelaki yang lain turut menahan kaki dan kepalanya agar mangsa kekal meniarap bagi memudahkan lelaki itu dipukul.

“Minta maaf Datuk, Datuk minta maaf,” jerit mangsa kepada kumpulan lelaki itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Senior Asisten Komisioner Zainol Samah memberitahu The Star siasatan awal mendapati mangsa disebat kerana menghina mendiang Datuk Ong Teik Kwang yang mati akibat ditembak pengawal peribadinya pada Khamis lalu.

“Mangsa dibawa oleh pengikut ‘Datuk’ ke rumah pengurusan mayat sebelum disebat,” katanya.

Kaitan: Kes Tembakan Selesai, Motif Masih Dalam Siasatan

Zainol berkata polis menyelamatkan lelaki itu selepas menerima maklumat daripada orang ramai pada jam 5 petang.

“Susulan maklumat orang awam, polis tiba di tempat kejadian bagi menyelamatkan mangsa dan membawanya ke balai polis untuk membuat laporan.

“Mangsa mengalami kecederaan lebam, bengkak dan luka di mata kanan, pipi, hidung, bahagian belakang badan serta kedua-dua belah tangan dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan,” katanya.

Mangsa yang berusia 47 tahun itu dibawa ke balai polis untuk membuat laporan manakala beberapa individu yang memukulnya dilaporkan telah ditahan untuk siasatan lanjut. – MYNEWSHUB.CC

Loading...