KUCHING – Bagaikan mimpi ngeri, seorang lelaki terpaksa menyelamatkan diri dengan berlari ke sebuah restoran setelah ditetak oleh seorang invidu tidak dikenali di Jalan Padangan, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa cedera di bahagian tangan kanan dan belakang badan ketika cuba mempertahankan dirinya, membuatkan mangsa kehilangan banyak darah.
Video keadaan mangsa yang cedera parah itu kini menjadi tular di media sosial yang mana turut memaparkan dirinya dibantu oleh para pekerja restoran berkenaan.
Mangsa yang juga merupakan seorang pengarah sebuah syarikat swasta kemudian dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Penyerang dikatakan melarikan diri selepas menyedari perbuatannya menarik perhatian orang ramai yang berada di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuching ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan. –MYNEWSHUB.CC