Veterinar Terengganu Siasat Pemuda Cekik Ayam Jantan

DUNGUN – Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri akan menjalankan siasatan berhubung tindakan seorang pemuda di daerah ini yang mencekik seekor ayam jantan sebagaimana yang tular dalam laman sosial Facebook sejak Sabtu lalu.

Video berdurasi 13 saat itu memaparkan pemuda terbabit mencekik leher ayam jantan tersebut sehingga haiwan berkenaan mengalami kekejangan.

Pengarahnya, Dr. Mohd. Termizi Ghazali berkata, ketika ini pihaknya sedang mengumpulkan maklumat berhubung kejadian itu.

Katanya, perbuatan yang dilakukan oleh pemuda terbabit jelas menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab kerana dengan sengaja mencekik haiwan dengan niat untuk bergurau.

“Kita memandang serius perkara ini kerana ia merupakan satu penderaan terhadap haiwan meskipun dengan niat untuk bergurau.

“Kita akan mengumpulkan maklumat berkenaan perkara itu dan kita akan meminta bantuan daripada komuniti setempat untuk menyalurkan maklumat kepada kita,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tindakan pemuda itu turut mendapat perhatian Persatuan Haiwan Malaysia yang mahu pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku yang mencekik ayam tersebut.

Menurut Mohd. Termizi, jika sabit kesalahan pemuda itu boleh didakwa di bawah Akta Kebajikan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda dan penjara kerana perlakuan kejam yang boleh ditakrifkan penganiyaan terhadap haiwan.

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda RM20,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun di samping penternak dan pembela haiwan juga boleh dikenakan hukuman yang sama sekiranya haiwan ternakan tidak diuruskan dengan sempurna,” katanya.

Mohd. Termizi memberitahu, penternak haiwan perlu mematuhi garis panduan penyembelihan haiwan ternakan iaitu ia tidak boleh dipukul atau dipertontonkan kepada umum semasa proses tersebut dilakukan.

Loading...