Vellfire Pengarah JSJN Hilang Tiada Kaitan Cabar PDRM

SHAH ALAM – Tiada sebarang isu mencabar Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebaliknya hanya jenayah curi kenderaan biasa melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang digunakan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, MPV tersebut secara kebetulannya telah dicuri oleh penjenayah di kawasan tersebut yang tidak dilengkapi televisyen litar tertutup (CCTV).

“Ini bukan cabar polis atau tidak tetapi kebetulan kereta itu hendak dicuri (penjenayah), itu sahaja.

“Kita cuba menyelesaikan kes ini secepat mungkin dan bukan satu keutamaan dan kita ada Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam menjalankan siasatan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Kata beliau, SOP itu termasuk MPV itu akan disenarai hitamkan dan melawat tempat kejadian bagi mendapatkan sebarang petunjuk bagi mengenalpasti suspek terlibat.

Ujar Fadzil, pihaknya telah mengambil keterangan pemandu MPV itu yang merupakan anggota polis berusia 31 tahun.

“Setakat ini, siasatan mendapati tiada kesan cermin MPV itu pecah di lokasi kejadian dan kita masih mengesan kenderaan sama ada masih di negara ini atau tidak.

“Justeru, sama ada dilakukan oleh penjenayah profesional atau tidak, siasatan lanjut masih dijalankan pihak kami,” katanya.

Akhbar Kosmo! hari ini melaporkan MPV Vellfire berharga kira-kira RM300,000 yang digunakan Mohmad hilang akibat dicuri di Sungai Ramal, Kajang kelmarin.

Kehilangan MPV berwarna hitam itu disedari pemandu Mohmad yang juga anggota polis pada pukul 8 malam ketika dia hendak beredar selepas menjamu selera di sebuah restoran di Sungai Ramal. – K! ONLINE

Loading...