Vape, Rokok Elektronik Rosakkan Jantung

PARIS – Kajian terbaharu menunjukkan rokok elektronik dan kandungan bahan kimia yang terdapat dalam alat itu boleh merosakkan sistem dan menyumbang kepada masalah kardiovaskular.

Laporan diterbitkan jurnal Cardiovascular Research itu dikeluarkan selepas Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) pada bulan lalu mengisytiharkan ‘kecederaan paru-paru’ dikaitkan dengan vape yang semakin popular dalam kalangan remaja ketika ini.

“E-rokok bukan hanya mengandungi wap air tidak berbahaya malah nikotin, bahan zarahan, besi dan perisa. Ramai orang menganggap produk seperti vape selamat tetapi ada lebih banyak sebab untuk kita bimbang tentang kesannya terhadap kesihatan jantung,” kata penulis kanan kajian itu di Universiti Ohio, Loren Wold.

Kajian sebelum ini menunjukkan nikotin yang terdapat dalam tembakau juga diketahui meningkatkan tekanan darah dan kadar denyutan jantung, bagaimanapun, bahan lain yang disedut melalui vaping boleh menyebabkan keradangan, tekanan oksidatif dan aliran darah yang tidak stabil.

Selain itu, rokok elektronik juga mengandungi formaldehyde yang dikelaskan sebagai agen penyebab barah dan dikaitkan dengan kerosakan pada jantung.

“Situasinya sama seperti kesan pencemaran udara kepada kesihatan manusia,” jelas Wold lagi.

Sehingga 29 Oktober lalu, sebanyak 37 kematian di 24 negeri di Amerika Syarikat (AS) dikaitkan dengan e-rokok dan produk vape, manakala hampir 1,900 kes berkaitan kecederaan paru-paru turut dilaporkan hingga mencetuskan kebimbangan banyak pihak. – Agensi

Loading...