Vaksin: Malaysia Perlu Bayar Pendahuluan RM94.08 Juta

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu menjelaskan bayaran pendahuluan dan jaminan perkongsian risiko berjumlah RM94.08 juta untuk menyertai pelan peruntukan vaksin COVID-19 global, COVAX.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, bagaimanapun berkata buat masa ini, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memuktamadkan tarikh menandatangani perjanjian itu bersama Pakatan Vaksin Global (GAVI).

“Jemaah Menteri pada 14 Oktober lalu bersetuju Malaysia menyertai fasiliti COVAX yang bakal memberi jaminan bekalan vaksin untuk 10 peratus populasi Malaysia. Jemaah Menteri juga bersetuju supaya KKM mewakili kerajaan untuk memuktamadkan perjanjian terbabit.

“Jabatan Peguam Negara juga ditugaskan untuk menyemak terma serta syarat-syarat perjanjian yang ditetapkan GAVI. Selepas dibuat proses semakan, Jemaah Menteri memutuskan pada 13 November lalu supaya Malaysia, melalui KKM memuktamadkan penyertaan dalam COVAX dengan menandatangani perjanjian ‘Optional Purchase Arrangement’.

“Keputusan untuk Malaysia menyertai fasiliti ini akan membabitkan kos yang merangkumi bayaran pendahuluan dan jaminan perkongsian risiko berjumlah AS$22,656,200 atau secara anggarannya RM94.08 juta,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta kerajaan menyatakan kos penyertaan Malaysia ke dalam COVAX. – BH Online

Loading...