Utusan Mungkin Ditutup Kerana Tiada Wang – NUJ

KUALA LUMPUR – Hampir 100 pekerja Utusan Melayu Berhad mengadakan demonstrasi di luar ibu pejabat syarikat itu bagi menuntut tunggakan gaji selama sebulan setengah.

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Mohd Taufik Razak berkata dalam mesyuarat dengan pihak pengurusan Utusan di Kementerian Sumber Manusia hari ini, Pengerusi Eksekutifnya, Abd Aziz Sheikh Fadzir memaklumkan syarikat itu mungkin ditutup dalam masa beberapa minggu.

“Mereka buat keputusan Utusan memang tidak ada duit bayar gaji untuk yang tertunggak dan pada masa-masa akan datang.

“Mereka tidak mempunyai wang dan gagal melupuskan aset yang ada. Mereka ugut mereka akan tutup Utusan, mereka tidak mahu lagi beroperasi sebab tidak ada duit,” kata Taufik yang juga pengerusi NUJ cawangan Utusan.

Sementara itu, Setiausaha Agung NUJ, Chi Sung Chew berkata potongan gaji untuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Lembaga Hasil Dalam Negeri, zakat, Pertubuhan Keselamatan Sosial, pinjaman bank dan Lembaga Tabung Haji tidak dibuat, tetapi potongan itu ada dinyatakan dalam slip gaji.

Sebelum ini, 769 pekerja Utusan dilaporkan hidup dalam kesusahan sehingga ada yang terpaksa meminjam wang daripada ah long dan menggadaikan harta. – FMT

Loading...