Utusan Setuju Selesai Kes Saman Fitnah Anwar

KUALA LUMPUR – Utusan Melayu (M) Bhd (UMMB) hari ini bersetuju untuk menyelesaikan kes saman fitnah difailkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap syarikat akhbar itu atas dakwaan mengaitkan beliau terlibat dengan rasuah membabitkan badan kehakiman.

Peguam Azhar Arman Ali yang mewakili Utusan Melayu memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Faizah Jamaludin yang turut dihadiri peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Anwar dan Lim Qi Si, mewakili Syarikat Televisyen Malaysia Bhd (TV3).

“Pada prosiding sebelum ini (24 Ogos), Datuk Dr Mazlan Ismail dan TV3 telah bersetuju untuk menyelesaikan kes saman berkenaan dan pada hari ini, Utusan Melayu selaku defendan ketiga menyatakan hasrat yang sama.

“Anak guam saya juga akan mengemukakan permohonan maaf terhadap plaintif (Anwar) yang mana permohonan maaf itu akan diterbitkan dalam akhbar Utusan Malaysia. Namun, tarikh penerbitan permohonan maaf tersebut masih belum ditentukan,” katanya.

Peguam itu berkata mahkamah turut menetapkan 28 Sept ini untuk merekodkan penghakiman persetujuan kesemua pihak bagi penyelesaian kes saman berkenaan.

Anwar memfailkan saman itu pada 15 Okt 2015 selepas mendakwa ketiga-tiga defendan telah mengaitkan beliau dengan rasuah membabitkan hakim dan pendakwa raya.

Dalam pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa Mazlan telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dalam satu sidang media dan menyebabkan TV3 menyiarkan perkataan fitnah itu menerusi Buletin Utama pada 8 malam, 2 Ogos 2013 dan menyebabkan perkataan fitnah tersebut diterbitkan di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 3 Ogos 2013.

Anwar mendakwa perkataan fitnah itu membawa maksud beliau seorang yang tidak beretika, terlibat dalam rasuah, melakukan aktiviti berunsur jenayah, tidak jujur dan tidak bermoral.

Beliau memohon ganti rugi am, teruk dan injunksi untuk menghalang defendan daripada mengulangi atau menerbitkan semula perkataan memfitnah itu.- BERNAMA

Loading...