UTHM Boleh Jadi Contoh Pada IPTA Lain

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) boleh dijadikan contoh kepada institusi pengajian tinggi (IPT) yang lain di negeri ini apabila aktif mengimbangi bidang akademik dan kokurikulum di kalangan warganya termasuk siswa.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata aktiviti yang sering dilaksanakan oleh UTHM bagi kokurikulum membabitkan kegiatan sukan, rekreasi dan juga riadah, sekaligus menjadikan lepasan universiti tidak hanya menjadi ‘ulat buku’ tetapi mahir dalam pelbagai bidang.

Beliau berkata perkara yang dilaksanakan oleh pihak UTHM ini sememangnya baik kerana ia akan membuatkan pelajarnya memahami kepentingan sukan dan aktiviti riadah.

“Salah satu daripada faedah bersukan ialah seseorang itu mampu mengekalkan kecerdasan fizikalnya, yang juga penting kepada golongan profesional yang banyak menggunakan tenaga dalaman dan pemikiran,” kata beliau.

“Amalan UTHM ini seharusnya dipuji, walaupun warganya sibuk dengan tugasan harian tetapi tetap tidak mengabaikan kegiatan sukan dan riadah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan hadiah program Night Run UTHM 2018, yang turut dihadiri oleh Naib Canselor UTHM, Prof Dr Wahid Razzaly dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Asri Selamat.

Sementara itu, Wahid berkata aktiviti yang dianjurkan itu terbuka kepada semua warga UTHM, termasuk staf akademik dan bukan akademik serta pelajar antarabangsanya.

“Kita juga akan mengadakan pelbagai aktiviti menarik bersempena sambutan ulang tahun ke-25 UTHM tahun ini,”kata Wahid. – BERNAMA

Loading...