Utamakan Bincang Isu Negara Apabila Parlimen Dibuka

KOTA KINABALU – Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang perlu meletakkan keutamaan kepada perbincangan mengenai isu negara dan rakyat apabila persidangan Parlimen dibuka semula dalam tempoh terdekat.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata semua pihak perlu melupakan pergeseran politik dan perebutan kuasa agar persidangan Parlimen dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk membantu negara keluar daripada kemelut ekonomi dan kesihatan awam.

Katanya, ia juga sebagai tanda terima kasih terhadap keprihatinan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah yang menzahirkan pandangan agar persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin.

Sambil menyambut baik titah Al-Sultan Abdullah, Bung Moktar turut menyanjung tinggi kebijaksanaan baginda sebagai ketua negara yang meletakkan sistem demokrasi berparlimen pada tahap tinggi.

“Keputusan ini membuktikan tuanku mengutamakan prinsip Keluhuran Perlembagaan yang selari dengan hasrat memelihara peranan semak dan imbang yang dimainkan ahli yang berhormat di Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Semalam, Al-Sultan Abdullah melalui kenyataan media Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, menzahirkan pandangan agar Parlimen bersidang secepat mungkin bagi membolehkan pelan pemulihan dan ordinan darurat dibahaskan Ahli Dewan Rakyat.

Sehubungan itu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah menyatakan harapannya agar semua Ahli Parlimen kerajaan atau pembangkang dapat mengambil peluang itu untuk membincangkan masalah negara secara serius.

“Bahaskanlah secara serius dan objektif untuk mencari jalan keluar daripada segala kemelut ekonomi dan kesihatan awam yang sedang kita hadapi sekarang.

“Ini adalah peluang untuk semua Ahli Parimen mengembalikan kekuatan Parlimen sebagai medan sebenar suara rakyat di peringkat akar umbi yang ketika ini berdepan susana getir masalah penularan pandemik COVID-19 dan ekonomi,” katanya. – BH Online