Usung Keranda 1 KM Urus Pengebumian Mayat Orang Asli

SEREMBAN – Berjalan kaki hampir sejam dengan mengusung keranda mayat COVID-19, menguji ketahanan mental dan fizikal tiga petugas kesihatan daerah Seremban, ketika menguruskan pengebumian mayat Orang Asli di Kampung Orang Asli Jeram Kedah, Lenggeng dekat sini, baru-baru ini.

Ketika matahari terpacak kira-kira 12 tengah hari, Mohd Adree Zuzalee Adnan, Sheikh Ezamli Sheikh Dolah dan Mohd Shahran Musa, bersiap sedia berpakaian lengkap alat perlindungan peribadi (PPE), bersama lima individu daripada pihak pengurusan mayat untuk menguruskan mayat pada Jumaat lalu.

Menceritakan situasi itu, Mohd Adree, 37, berkata mengusung keranda dengan laluan berbukit hampir satu kilometer adalah pengalaman pertama dirinya serta rakan-rakan sepanjang menguruskan jenazah yang meninggal dunia akibat COVID-19.

“Berjalan kaki dengan berpakaian PPE dengan laluan berbukit menyukarkan perjalanan kami. Dalam keadaan cuaca panas itu juga kami perlu mengawal cara penafasan untuk mengelakkan badan terlalu penat ketika mengusung keranda.

“Maka kami perlu berhenti untuk berehat seketika, sebelum meneruskan perjalanan ke tempat pengebumian mayat itu,” katanya.

Mohd Adree turut berkongsi pengalamannya itu menerusi Facebook miliknya ‘Aliff Dal Ro YA’ baru-baru ini, mendapat perhatian netizen yang memberikan kata-kata semangat kepada pasukan petugas kesihatan, selain menerima ucapan ‘terima kasih Frontliner’.

Beliau berkata, sama seperti prosedur operasi standard (SOP) pengurusan jenazah Islam, petugas perlu mematuhi arahan ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM), bagi mencegah penularan COVID-19.

Mohd Adree berkata, selepas selesai pengebumian mayat itu, mereka akan disanitasi serta perlu membersihkan diri, sebelum masing-masing pulang ke rumah.

Beliau berkata, sebagai seorang petugas menguruskan jenazah COVID-19 untuk tempoh lebih setahun ini, beliau dan rakan-rakannya tidak pernah menganggap ia beban, sebaliknya amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh bertanggungjawab.

“Kami bersedia setiap masa apabila dipanggil menguruskan jenazah COVID-19, maka kesihatan diri, kecergasan fizikal dan mental memainkan peranan penting, kerana kami tidak boleh jangka bagaimana situasi menguruskan sesuatu jenazah,” katanya. – BERNAMA