Usulkan Undi Percaya, Pasti Belanjawan 2021 Akan Lulus

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Johari Abdul Ghani berpandangan bahawa mengusulkan undi percaya terhadap kerajaan Perikatan Nasional ketika ini dapat bantu meluluskan Belanjawan 2021.

Tegas Bekas Menteri Kewangan II itu, isu yang dipertikaikan oleh kebanyakan Ahli Parlimen adalah keyakinan terhadap kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bukannya semata-mata untuk mempolitikkan belanjawan.

Baca: Banyak Manfaat Bakal Diraih Malaysia Melalui RCEP

“Kali ini, banyak daripada Ahli Parlimen mempertikaikan kejelasan atau ‘absolute majority’ yang ada.

“Itu persoalan dia, bukan lebih kepada tak lulus atau lulus,” kata Johari ketika dihubungi.

“Untuk selesaikan masalah ini, kalau kerajaan boleh membenarkan undi percaya kepada kerajaan dan meletakkan bila untuk dilakukan undi percaya, saya percaya bajet ini akan diluluskan oleh semua ahli Parlimen.”

Tambah beliau, “Kalau itu kehendak ahli politik, maka kita bawa usul sama ada percaya atau tidak percaya di Parlimen untuk tunjuk kerajaan ini ada kuasa atau tidak.

“Kalau usul undi percaya ini boleh dinaikkan, sebaik sahaja bajet ini diluluskan, kerajaan boleh dapat majoriti.”

Johari turut menjelaskan bahawa isu politik perlu diasingkan daripada kepentingan ekonomi ketika negara masih berdepan ketidaktentuan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

“Kita tidak boleh mencampuradukkan politik dengan kedudukan ekonomi yang kita berdepan hari ini kerana pandemik. Ekonomi, perjalanan kerajaan perlu berjalan seperti biasa,” katanya.

Beliau mengulas mengenai persoalan sama ada kerajaan Perikatan Nasional memiliki keyakinan di Parlimen menjelang pengundian Belanjawan 2021 pada 25 November.

Dalam masa sama, Johari berpandangan bahawa tindakan Tengku Razaleigh Hamzah untuk menarik diri daripada membahaskan Belanjawan 2021 tidak menyalahi keperluan Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, beliau turut berkata bahawa rakyat sentiasa memerhati sama ada ahli Parlimen menjalankan tanggungjawab mereka atau tidak.

“Rakyat melihat kita semua, sama ada kita menjalankan tanggungjawab kita sebagai ahli Parlimen terutama dalam isu-isu yang melibatkan kedudukan ekonomi dan kestabilan politik,” kata Johari.

Sebelum ini, Tengku Razaleigh mendedahkan surat yang dikirim kepada Yang Di Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun bahawa beliau enggan membahaskan Belanjawan 2021 selagi keabsahan kerajaan Perikatan Nasional masih belum dibuktikan. – Astro AWANI