Usia 51 Tahun, Rosyam Puas Buat ‘Stunt’ Sendiri

DI USIA menjangkau 51 tahun, Datuk Rosyam Nor masih lagi gagah melakonkan babak lagak ngerinya sendiri demi kepuasan dirinya sebagai seorang pelakon hebat.

Terbaharu, Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin telah melakukan stunt dengan melompat dari tingkat tujuh sebuah bangunan dalam sebuah babak bagi filem lakonannya, KL Special Force.

“Saya pada awalnya memang takut sebab memikirkan usia selain isteri dan anak-anak di rumah jika berlaku apa-apa,” katanya dipetik daripada mStar Online.

Malah, aksi itu telah diulang sebanyak lapan take bagi mendapatkan kesan yang realistik bila ditonton.

Walaupun terdapat pelakon aksi yang bersedia untuk menggantikan Rosyam bagi babak tersebut, Syafiq Yusof yang merupakan pengarah filem berkenaan tetap berdegil mahukan Rosyam sendiri yang melakukan aksi tersebut.

“Syafiq seorang yang degil dan jika dia mahukan sesuatu itulah yang kita kena buat dan kerana kedegilannya itulah saya terpaksa terjun dari tingkat tujuh bangunan dan babak itu dilakukan sebanyak lapan kali!

“Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya tapi Alhamdulillah selepas melihat hasil, akhirnya saya bersyukur saya lakukan sendiri aksi bahaya itu,” tambahnya lagi.

Dalam masa yang sama, Rosyam tetap menganggap kedegilan Syafiq dalam menyiapkan filem aksi serius dibawah arahannya itu merupakan satu kebanggan baginya sebagai seorang pengarah muda.

“Benar, dia seorang yang degil tapi kedegilannya itu buatkan saya hormat dan suka padanya kerana tak ramai anak muda yang mampu buat seperti apa yang dia lakukan sekarang,” tambah Rosyam lagi.

Dalam usianya kini, membuatkan filem KL Special Force sebagai satu sejarah dalam hidupnya kerana masih mampu berlakon dalam filem aksi.

Selain itu, ia juga menjadi satu karya yang telah berjaya mengangkat nama Rosyam sebagai pelakon hebat dalam industri filem tempatan.

“Daripada pengarah, krew produksi harus saya ucapkan terima kasih kerana berjaya buat saya nampak hebat dalam layar skrin.

“Sebagai pelakon saya teruja kerana ada naskah yang boleh saya banggakan sepanjang 36 tahun karier seni saya sebagai pelakon,” ujar Rosyam lagi.

Selain Rosyam, antara pelakon lain yang telah menjayakan filem tersebut ialah Syamsul Yusof, Fattah Amin, Tania Hudson, Sabrina Ali, Puteri Balqis, Mahmud Ali Basyah dah ramai lagi.

KL Special Force sudah mula ditayangkan di pawagam sejak semalam dan rata-rata komen penonton berpuas hati dengan keseluruhan jalan cerita yang ditunjukkan. –MYNEWSHUB.CC / AH