‘Usain Bolt Malaysia’ Pecah Rekod Lagi

PELARI yang diberi jolokan ‘Usain Bolt Malaysia’, Azeem Fahmi terus cemerlang pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) apabila melakar kejayaan berganda dengan kejayaan meraih emas dalam acara 200 meter di Iskandar Puteri, Johor, hari ini.

Selepas cemerlang memecahkan rekod dalam acara 100 meter kelmarin hingga video lariannya tular dalam media sosial, hari ini pelari kelahiran Perak itu melaungkan amaran dia mampu menjadi pencabar dalam acara pecut apabila mengungguli acara 200 meter B-15.

Lebih menggembirakan Azeem, 15, turut melakar rekod baharu kejohanan 21.24 saat sekali gus meleburkan rekod lama miliknya 21.89 saat yang dilakukan tahun lalu.

Pingat perak acara itu dimenangi pelari Sabah, Jad Rizalman Washif dengan 22.66 saat manakala gangsa menjadi milik pelari Sarawak, Audray Macshaquille Hillary Jugah 22.71 saat.

Sebagai rekod ia emas ketiga Azeem pada Kejohanan MSSM selepas meraih emas acara 100 meter dan lompat jauh.

Bulan lalu, atlet itu turut mencuri tumpuan apabila meraih emas 100 meter pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara dengan melakar rekod kejohanan dengan masa 10.69 saat. – myMetro online