Usaha Selesai Konflik Di Selatan Thai Ambil Masa

BANGKOK – Tidak ada tempoh masa untuk menyelesaikan konflik di selatan Thailand kerana untuk menyelesaikan masalah itu akan mengambil masa,…

BANGKOK – Tidak ada tempoh masa untuk menyelesaikan konflik di selatan Thailand kerana untuk menyelesaikan masalah itu akan mengambil masa, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Beliau berkata, konflik itu melibatkan banyak pihak dan kumpulan.

“Kita tidak boleh mengatakan tentang tempoh masa kerana kita tidak tahu tentang respon kerana respon bukan daripada satu kumpulan. Terdapat beberapa kumpulan, kadang-kadang anda mendapat satu perjanjian tetapi yang lain mungkin tidak setuju. Maka (penyelesaian) mengambil masa, “katanya kepada media Malaysia pada akhir lawatan dua hari ke Thailand di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan Malaysia mahu membantu Bangkok mencari penyelesaian kepada konflik itu memandangkan kini adalah giliran negara kita untuk membantu Thailand menyelesaikan masalah.

Mahathir berkata, Thailand pernah membantu Malaysia menyelesaikan masalah keganasan tidak lama dahulu dan kini giliran negara kita menghulurkan bantuan bagi menyelesaikan konflik di selatan.

Fasilitator yang baru dilantik ke rundingan damai selatan Thai, Tan Sri Abdul Rahim Noor katanya, amat berpengalaman kerana pernah terlibat dalam rundingan damai dengan pengganas komunis.

Apa yang penting yang perlu dilakukan oleh bekas Ketua Polis Negara itu katanya, adalah bertemu dengan kumpulan pemisah .

Mengenai tuntutan autonomi oleh kumpulan pemisah selatan Thailand, Perdana Menteri berkata, semua pihak terlebih dahulu perlu tahu apakah autonomi yang dituntut itu.

“Kita tidak tahu apa autonomi yang dia tuntut,” katanya yang tiba di Bangkok semalam untul lawatan dua hari berakhir hari ini ke Bangkok.

Malaysia merupakan fasilitator kepada proses rundingan damai di selatan Thailand dan telah menganjurkan beberapa siri rundingan antara delegasi kerajaan Thai dengan pihak Mara Patani yang mewakili beberapa kumpulan di wilayah itu.

Beliau juga ditanya mengenai dasar berkecuali yang diamalkan oleh negara dan kesannya terhadap isu etnik Rohingya.

Menurut Perdana Menteri, berikutan dasar tidak campurtangan dalam urusan dalam negara di ASEAN ramai etnik Rohingya melarikan diri ke Malaysia akibat kekejaman pihak tentera Myanmar.

“Kini ia menjadi masalah kepada Malaysia. Kita kena tegaskan kepada Myanmar, cara mereka tadbir Rohingya perlu diperbetulkan. Jika mereka (Myanmar) tidak lakukan sesuatu, maka negara ASEAN akan tanggung beban,” katanya.

Beliau juga ditanya mengenai pembunuhan wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi di Turki dan berkata, beliau tidak boleh mengulas mengenai kes itu sekadar membaca laporan berita dan tanpa memiliki maklumat yang tepat.

Bagaimanapun Mahathir meminta negara-negara yang majoriti penduduknya beragama Islam supaya berlagak seperti orang Islam dan tidak melakukan pembunuhan. – BERNAMA

Loading...