Unjuran KDNK Kekal 6.5-7.5 Peratus Bagi 2021 – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR – Malaysia mengekalkan sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasarnya (KDNK) antara 6.5 peratus dan 7.5 peratus bagi 2021 meskipun proklamasi darurat dan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0), kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Masih awal lagi dan kita masih di suku pertama tahun ini. Jadi kita kekalkan (buat masa sekarang) tetapi unjuran kita berisiko memandangkan (apa yang berlaku) semasa PKP 2.0.

“Ia (KDNK) dijangkakan pada paras lebih rendah dalam julat unjuran kami,” katanya semasa temu bual dengan Bloomberg hari ini.

Jangan Risau… Klik Sini

Tengku Zafrul berkata dasar yang stabil dan kekal penting dalam membendung pandemik COVID-19 dan membolehkan negara berada di landasan pemulihan ekonomi. 

Kerajaan komited menyokong perniagaan dan juga rakyat dan bersedia menggunakan lebih banyak sumber bagi memerangi virus yang meragut nyawa ini sekiranya diperlukan, katanya. 

“Impak (kerugian ke atas ekonomi) sehari semasa PKP sebelum ini adalah kira-kira RM2.4 bilion, tetapi kali ini (PKP 2.0) ia sekitar RM700 juta sehari.

“Selain itu, kita juga mula melaksanakan pelbagai pakej rangsangan yang masih berterusan, dan Belanjawan 2021 yang diluluskan baru-baru ini serta pakej bantuan terkini (Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia atau PERMAI) akan membantu mengurangkan impak ke atas ekonomi,” katanya. 

Apabila ditanya sama ada akan ada kemungkinan langkah untuk meningkatkan had hutang negara, Tengku Zafrul berkata kerajaan tidak ada rancangan untuk menaikkannya kerana buat masa ini situasinya masih terlalu awal untuk membuat sebarang semakan semula. 

“Jika kita melihat di mana tahap hutang hari ini, kita akan terus mengunjurkan paras hutang kita akan berada di bawah had hutang 60 peratus yang kita tetapkan sebelum ini. 

“Dari segi pakej rangsangan PERMAI yang kerajaan umumkan bagi tahun ini, suntikan fiskal adalah kira-kira RM15 bilion, yang mana kebanyakan wang adalah daripada peruntukan di bawah Belanjawan 2921,” jelasnya.

Mengenai perkembangan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Tengku Zafrul berkata Malaysia telah mendapat kembali kira-kira RM15.4 bilion aset tunai dan fizikal yang ada kaitan dengan syarikat pembangunan strategik itu.

Beliau berkata Malaysia komited mendapatkan kembali baki aset lebih daripada apa yang dicapai hari ini tanpa mengambil kira situasi COVID-19.

“Kerajaan Malaysia terus komited mengambil pendekatan yang bertanggungjawab dan pragmatik dalam proses pemulangan itu yang memberi manfaat kepada negara dan rakyat,” katanya sambil menambah pembayaran hutang 1MDB sudahpun menjadi sebahagian daripada unjuran kerajaan di bawah Belanjawan 2021.

Mengulas mengenai pelantikan rasmi Joe Biden sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS), Tengku Zafrul melahirkan harapan agar ketegangan perdagangan antara AS dan China akan mereda di bawah pentadbiran baharu. 

“Kami berharap perdagangan global boleh berfungsi dengan lebih teratur di bawah naungan Pertubuhan Perdagangan Dunia,” katanya.  

AS adalah rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia menyumbang 10 peratus daripada jumlah perdagangan dalam tiga suku pertama tahun lepas. – BERNAMA