Universiti Bukan Tempat Sebar Ideologi, Berpolitik – Tunku Ismail

BATU PAHAT – Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah agar universiti tidak dijadikan medan menyebarkan ideologi bagi kepentingan individu atau parti politik, sebaliknya ia adalah adalah pusat pemikiran yang serius untuk menyumbang kepada kemajuan bangsa, negara dan sejagat.

Justeru, titah baginda, tanggungjawab berkenaan perlulah dilaksanakan secara profesional oleh setiap warga universiti dan graduan demi kepentingan bersama dan tidak bersifat individu atau politik.

β€œSetiap warga universiti dan graduan hendaklah memberi fokus kepada pembangunan modal insan yang berdaya maju dan penyebaran khidmat profesional yang berkesan, serta penyelidikan yang berkualiti tinggi demi membawa manfaat kepada masyarakat, khususnya di negeri Johor,” titah baginda ketika Istiadat Konvokesyen ke-19 Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) di Dewan Sultan Ibrahim UTHM hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UTHM, Prof. Datuk Dr. Wahid Razzaly dan Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor, Aminolhuda Hassan.

Tunku Ismail yang juga Pro-Canselor UTHM bertitah kefahaman terhadap sejarah dan nilai agama perlu diutamakan oleh pihak universiti memandangkan terdapat pihak yang suka memutarbelitkan fakta, mereka cerita atau menukarkan perkara yang salah kepada kebenaran.

Baginda juga mahu lebih ramai graduan yang berkualiti tinggi iaitu yang menjadi rebutan di pasaran kerja dilahirkan di universiti berkenaan.

β€œIni secara tidak langsung membantu UTHM yang berada di Johor menjadi sebuah universiti yang boleh dibanggakan bukan sahaja dalam negara malah mampu untuk bersaing dengan universiti-universiti lain di dunia,” titah baginda.

Pada istiadat itu seramai 118 siswazah menerima Ijazah Doktor Falsasah (PhD), 395 menerima Ijazah Sarjana, 3,220 graduan menerima Ijazah Sarjana Muda dan 966 lagi menerima Diploma.

UTHM turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Institusi Diraja) kepada Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli dan memberikan gelaran Prof. Emeritus kepada Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Pembuatan dan Industri, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan UTHM, Prof. Dr. Sulaiman Hassan, 62.

Loading...