UNIKL BMI Sedia Uruskan Jenazah Dr. Fadi

UNIVERSITI Kuala Lumpur British Malaysian Istitute (UNIKL BMI) bersedia untuk menguruskan sepenuhnya urusan pengebumian iman Palestin, Dr. Fadi M R al-Batsh Fatma di Malaysia.

Dekan UNIKL BMI, Prof. Madya Dr. Mohd Izhar Abu bakar berkata walaupun keluarga Allahyarham memohon supaya jenazahnya dibawa pulang, pihaknya sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan.

“Apa saja keputusan berkenaan lokasi pengebumian arwah Dr. Fadi, kami sedia membantu dan mengikut perancangan asal jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Batu Muda, Batu Caves dijangka selepas solat Asar hari ini.

“Bagaimanapun, memandangkan ada permintaan daripada pihak keluarganya di Palestin untuk membawanya pulang, kami menangguhkan urusan pengebumian,” katanya memetik BH Online.

Katanya lagi, pihaknya sedang menanti kehadiran abang Allahyaraham yang akan tiba dari Jerman kira-kira jam 5 petang ini yang mana akan memberikan keputusan bagi pihak keluarganya sama ada jenazah akan dibawa pulang atau dikebumikan di sini.

Mengulas lanjut mengenai arwah Dr. Fadi, Mohd Izhar berkata, dia seorang pensyarah yang disenangi warga UNIKL BMI dan kontraknya baharu sahaja diperbaharui selepas menunjukkan prestasi kerja cemerlang.

“Arwah bersama kami selama dua tahun dan dalam tempoh berkenaan satu hubungan akrab terbina di antara pensyarah, penuntut dan kakitangan lain. Pemergiannya amat dirasai seluruh warga UNIKL BMI,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi semalam, Dr. Fadi, 35, ditemukan mati ditembak 10 kali oleh dua suspek yang menaiki motosikal berkuasa tinggi di hadapan Kondominium Idaman Puteri, Jalan Meranti, Gombak.

Mangsa yang merupakan pensyarah UNIKL BMI maut selepas mengalami kecederaan di bahagian badan dan kepala ketika dalam perjalanan ke Surau Medan Idaman bagi menunaikan solat subuh. – MYNEWSHUB.CC

Loading...