Undi Awal PRK Tanjung Piai Hari Ini

PONTIAN – Seramai 280 pengundi awal PRK Tanjung Piai membabitkan pegawai dan anggota polis keluar mengundi di pusat pengundian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian yang dibuka tepat jam 8 pagi hari ini.

Daripada keseluruhan jumlah pengundi awal berkenaan, 210 daripadanya ialah anggota dari Balai Polis Kukup, 18 pengundi dari Balai Polis Pekan Nanas manakala baki 38 anggota polis daerah berkenaan yang berpindah dan 14 anggota bersara.

Ketua Polis Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh berkata, proses pengundian awal yang sedang berlangsung berjalan lancar setakat ini.

“Kita harap pengundian awal hari ini tiada masalah dan berjalan lancar. Kita juga menempatkan seramai 10 anggota untuk tugas mengawal.

“Lagipun undi awal hari ini dilakukan di kawasan kita sendiri dan yang mengundi dalam kalangan kita (polis). Jadi saya rasa tiada masalah sehingga berakhir jam 5 petang nanti,” katanya ketika ditemui media di IPD Pontian di sini.

Mustafa juga memaklumkan, polis juga tidak menerima sebarang laporan baharu berhubung salah laku pilihan raya.

“Masih kekal 28 laporan diterima dan kami harap proses pilihan raya yang hanya berbaki beberapa hari lagi ini akan berjalan lancar tanpa sebarang insiden.

“Kita juga berharap penyokong parti dapat mengawal emosi sehingga penghujung tempoh berkempen dan hari pengundian nanti,” katanya.

Proses undi awal PRK Tanjung Piai akan membabitkan dua saluran iaitu N55 (Pekan Nanas) dan N56 (Kukup).

Loading...