Selangor Tiada Kuasa Gubal Undang-Undang Seks Luar Tabii

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini, memutuskan bahawa badan perundangan Selangor tiada kuasa menggubal undang-undang yang menjadikan seks luar tabii sebagai jenayah.

Terdahulu, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel sembilan hakim, dalam penghakimannya berkata hanya Parlimen ada bidang kuasa untuk menggubal undang-undang yang menjadikan seks luar tabii sebagai jenayah.

Beliau berkata, Seksyen 28 Enakmen 28 Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang membenarkan hukuman bagi seks luar tabii, adalah tidak berperlembagaan.

“Peruntukan itu (Seksyen 28) adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, Seksyen 28 adalah tidak konsisten dan terbatal,” katanya pada persidangan video menggunakan aplikasi Zoom.

Yang turut bersidang, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim; dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Mohd Zawawi Salleh, Nallini Pathmanathan, Vernon Ong Lam Kiat, Zabariah Mohd Yusof serta Hasnah Mohammed Hashim

Pada 14 Disember lalu, panel diketuai Tengku Maimun menangguhkan keputusan mahkamah terhadap usul dibawa seorang lelaki itu bagi mencabar Seksyen 28 Enakmen Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yakni peruntukan yang digunakan bagi mendakwanya atas pertuduhan cubaan melakukan seks luar tabii.

Pada 21 Ogos 2019, ketua pendakwa syarie menerusi pendakwa syariah memutuskan untuk mengemukakan pertuduhan di bawah Seksyen 28 Enakmen berkenaan terhadap lelaki itu di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.

Lelaki itu didakwa atas pertuduhan cuba melakukan seks luar tabii dengan seorang lelaki lain di sebuah rumah di Selangor pada 9 November 2018.

Bagaimanapun, lelaki itu mengaku tidak bersalah dan perbicaraan terhadapnya di Mahkamah Tinggi Syariah ditangguhkan sementara menanti keputusan hasil usulnya.

Pada 14 Disember lalu, mahkamah mendengar hujah daripada peguam lelaki itu, Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang berhujah bahawa badan perundangan Selangor tidak mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan itu kerana perkara dalam peruntukan berkenaan, yakni seks luar tabii, adalah yang terletak dalam Senarai Persekutuan, dalam Perlembagaan Persekutuan. – BH Online