Undang-Undang Perlindungan Data Sedang Dikemas Kini

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia menerusi Jabatan Perlindungan Data Peribadi kini sedang mengkaji semula Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010 bagi memastikanya diperbaharui dan selaras dengan perkembangan semasa.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, kajian semula itu adalah berkaitan keperluan untuk melaksanakan PDPA secara berkesan dan efisien, selain untuk menyelaraskannya dengan keperluan antarabangsa mengenai perlindungan data peribadi termasuk perkara-perkara penting dalam Peraturan Perlindungan Data Umum Kesatuan Eropah (GDPR).

“Malaysia ada undang-undang yang digubal pada tahun 2010 iaitu PDPA tetapi sekarang selepas sembilan tahun kita lihat terdapat banyak perkembangan baharu, jadi amat penting undang-undang sedia ada dipinda supaya boleh pastikan akta ini dikemaskinikan dengan perkembangan semasa.

“Tidak ada had masa ditetapkan dan kita telah mulakan kajian semula PDPA sejak tahun lepas tetapi ianya masih dalam proses dan saya harap tahun ini kita boleh rangka yang baharu yang boleh kita bawa cadangan pindaan ke Parlimen,” katanya pada pemberita selepas merasmikan Persidangan Impak GDPR EU di Malaysia dan Negara-negara Bukan EU di sini, hari ini.

Terdahulu Gobind berkata, pelaksanaan GDPR EU itu pasti memerlukan perubahan komprehensif kepada amalan-amalan perniagaan oleh syarikat-syarikat yang belum melaksanakan undang-undang privasi yang setara mengenai perlindungan data.

Loading...