Undang-Undang Khusus Kebajikan Pekerja Ekonomi Gig Digubal

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang merangka undang-undang dan peraturan khas bagi melindungi hak pekerja dalam sektor ekonomi gig.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, berkata, satu jawatankuasa dianggotai wakil Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ditubuhkan bagi melaksanakan perkara itu.

Jawatankuasa terbabit juga akan menjalankan kajian terperinci berhubung takrifan perundangan dalam ekonomi gig selaras perubahan kepada Industri 4.0.

Inisiatif dilaksanakan kerajaan bertujuan memanfaatkan ekonomi gig dan pada masa sama menjamin kepentingan pengguna serta pekerja dalam sektor berkenaan.

“Ekonomi gig adalah sistem pasaran terbuka yang mana pekerja bebas mengikat kontrak untuk melaksanakan sesuatu projek dalam jangka masa tertentu dan kebiasaannya dilaksanakan secara bebas.

“Sebagai trend yang baharu di mana pekerjaan kini lebih fleksibel, kerajaan menghadapi cabaran dalam menjaga kebajikan pekerja berikutan hubungan pekerja dan majikan yang kurang jelas.

“Inilah cara baharu mereka bekerja dan kita dapati ramai yang mendapat manfaat daripada ekonomi gig.

“Oleh sebab itu kerajaan perlu kekalkan sistem ini tetapi kita mahu supaya diadakan peraturan yang melindungi hak pekerja,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Dr. Mahathir menjawab soalan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) sama ada kerajaan akan mengawal selia ekonomi gig demi membela nasib dan kebajikan pekerja.

Perdana Menteri menjelaskan ekonomi gig antara sektor yang diberi tumpuan sebagai sumber ekonomi baharu, mapan dan inklusif dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Maslan (BN-Pontian) sama ada kerajaan akan menetapkan garis panduan untuk pekerja ekonomi gig, Dr. Mahathir berkata sektor itu bukan sesuatu yang boleh dihentikan.

“Kita tidak dapat menghentikan sistem ini kerana ramai daripada rakyat mendapati sistem ini memberi peluang kepada mereka menambah pendapatan dan boleh menampung keperluan hidup mereka.

“Mereka bekerja sendirian tetapi bekerja sendirian ini tidak termasuk dalam golongan pekerja biasa yang menikmati beberapa perlindungan disediakan kerajaan,” katanya.

Loading...