Friday, March 29, 2024

Creating liberating content

Mekanisme Bantuan Modal Mula...

KUALA LUMPUR - Kerajaan merancang untuk menyediakan bantuan modal memulakan semula perniagaan kepada...

Empat Pelajar Sekolah Tunas...

GEORGE TOWN - Empat pelajar Sekolah Tunas Bakti Telok Air Tawar, di sini...

Tanggung Dosa Sebar Tuduhan...

KUALA LUMPUR - "Berhati-hatilah untuk berkongsi info pemberitaan bersifat pertuduhan meskipun betapa bencinya...

Hujan Lebat Berterusan Di...

KUALA LUMPUR - Hujan lebat berterusan dijangka melanda beberapa negeri di Semenanjung dan...

UMT Hasilkan Sos Lokan Bantu Jana Pendapatan

KUALA NERUS – Sumber lokan yang banyak dan terbiar di kawasan pantai dan Tanah Bencah Setiu (Setiu Wetland) telah mendorong sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menghasilkan produk makanan yang lazat dan mempunyai zat protein.

Diketuai oleh pensyarah dari Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan (PPSTM), Dr Amir Izzwan Zamri, beliau bersama lima penyelidik lain mula membangunkan projek sos lokan pada 2014 dan berjaya disempurnakan formulasinya dalam tempoh setahun setelah melalui pelbagai ujian dan inovasi bagi memastikan ia benar-benar selamat dimakan dan mengekalkan nutrisi di dalamnya.

“Lokan adalah sejenis kerang-kerangan yang sering ditemui di kawasan pesisir pantai terutamanya di kawasan Setiu Wetland dan boleh diperoleh dengan banyak sepanjang tahun.

“Faktor tersebut menjadikan nilai komersial lokan atau nama saintifiknya Polymesoda expansa agak rendah berbanding komoditi seumpamanya seperti kerang, kepah dan kupang yang lebih popular dan digemari,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Amir Izzwan berkata harga lokan yang sangat rendah iaitu sekitar RM2 sekilogram menyebabkan orang kampung kurang berminat untuk menjualnya di pasaran malah ia kurang mendapat permintaan.

Mengulas lanjut, Amir Izzwan berkata sos lokan adalah satu produk yang berpotensi tinggi untuk dikomersialkan kerana ia tidak melibatkan kos tinggi dan mampu menggantikan produk seumpamanya di pasaran seperti sos tiram yang digunakan sebagai penambah perisa dalam makanan.

Beliau berkata, berbanding sos tiram, sos lokan mengandungi kandungan protein tinggi kerana ia diperbuat daripada ekstrak lokan sebenar yang diperoleh segar daripada sumber habitatnya sekali gus menjadikan rasanya lebih enak.

“Setiap tahun pasukan kami akan menjalankan analisis terhadap kandungan produk makanan termasuk sos tiram dan hasilnya agak mengejutkan kerana kandungan protein dan beberapa zat lain di dalamnya sentiasa menurun.

“Ini kerana sos tiram di pasaran pada masa ini menggunakan perisa kimia (sintetik) yang diimport dari negara luar seperti Australia dan bukannya daripada esktrak tiram sebenar.

“Di pasaran, terdapat dua jenis sos tiram yang satunya ditulis perisa sos tiram dan kedua ekstrak sos tiram yang harganya lebih mahal kerana Malaysia tidak mempunyai sumber tiram yang banyak. Oleh itu, pada masa ini produk daripada ekstrak tiram amat sukar didapati dan hampir tiada di pasaran,” katanya.


Lebih istimewa, lokan yang digunakan juga diperoleh daripada sumber yang selamat iaitu dari kawasan paya bakau yang bebas daripada pencemaran seperti minyak diesel dan sebagainya.

Tambah beliau lagi, antara tujuan lain pembangunan produk tersebut ialah bagi membantu komuniti setempat menjana pendapatan melalui aktiviti perniagaan secara kecil-kecilan bersesuaian dengan kemampuan mereka.

Amir Izzwan berkata sos lokan boleh menjadi sumber rezeki baharu komuniti di kawasan sekitar selain aktiviti menangkap ikan (nelayan), perusahaan belacan, budu dan ternakan udang yang menjadi sumber utama pencarian mereka sejak berpuluh tahun dahulu.

Pihaknya telah menjalankan ujian komputer terhadap komuniti kampung untuk melihat kecenderungan dan minat mereka dan hasilnya seramai 20 anak muda telah dipilih untuk mengusahakan produk itu untuk peringkat pertama.

“Insya-Allah dengan geran yang diperoleh daripada Pusat Pemindahan Ilmu dan Jaringan Industri UMT, projek ini dapat dimulakan tidak lama lagi.

“Namun kami juga mengharapkan jasa baik mana-mana agensi kerajaan atau pihak yang berminat untuk memberikan tempat yang lebih besar bagi membolehkan perusahaan ini dilakukan secara berkelompok sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai komuniti mengambil bahagian,” katanya. – BERNAMA

Kategori