Umrah: Kerajaan Dapatkan Nasihat MKN, KKM

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar dan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mendapatkan khidmat nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan, susulan keputusan Arab Saudi membenarkan jemaah luar negara mengerjakan umrah selama 10 hari, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam kenyataan bersama, berkata Malaysia amat menyambut baik keputusan itu dan kedua-dua kementerian akan bekerjasama rapat bagi memastikan umat Islam di Malaysia akan turut dapat mengerjakan umrah di tanah suci.

Katanya, kerajaan akan terus memantau situasi COVID-19 terutama di Malaysia dan pada masa yang sama, meneliti dari semasa ke semasa SOP ibadah umrah yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi. 

“Kerajaan akan melakukan yang terbaik demi kepentingan rakyat Malaysia terutama jemaah umrah yang bakal ke tanah suci kelak. 

“Bagi kerajaan, keselamatan dan kesihatan jemaah umrah Malaysia adalah keutamaan tertinggi.

“Marilah kita sama-sama doakan, semoga segala usaha demi memastikan umat Islam di Malaysia dapat kembali ke tanah suci dipermudahkan oleh Allah SWT. Insya-Allah,” katanya hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, Saudi Gazette yang memetik sumber Kementerian Haji dan Umrah memaklumkan umat Islam di seluruh dunia berusia antara 18 dan 50 tahun akan dibenarkan mengerjakan umrah selepas permit kebenaran untuk jemaah luar Arab Saudi dibuka mulai 1 November ini.

Antara arahan yang dikeluarkan kementerian itu adalah jemaah perlu menjalani kuarantin selama tiga hari sewaktu ketibaan di negara itu dan semua syarikat umrah perlu mematuhi peraturan kementerian serta mengawal kehadiran jemaah dari luar negara.

Selain itu, jemaah perlu mempunyai sijil ujian kesihatan PCR yang menunjukkan mereka bebas COVID-19, tidak lebih daripada 72 jam selepas sampel itu diambil dan dikeluarkan oleh makmal bertauliah di negara jemaah.

Jemaah juga perlu mendapat kebenaran untuk melakukan umrah selain lawatan ke dua masjid suci dan melakukan solat di Rawdah Sharif dengan mendaftar di aplikasi Eatmarna, selain setiap jemaah perlu mendapatkan tempahan penerbangan pulang selari dengan program yang diluluskan. – BH Online