UMNO Tunggu Kenyataan Rasmi Istana Negara

KUALA LUMPUR – UMNO mengambil pendirian untuk menunggu titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah, berhubung status kemelut politik melanda negara ketika ini.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, menegaskan kepemimpinan parti hanya akan mengeluarkan kenyataan lanjut bersandarkan keputusan daripada Istana Negara, bukan Perdana Menteri interim.

“Tiada apa komen daripada UMNO, kita tidak boleh ambil kenyataan Tun (Dr. Mahathir Mohamad).

“Tunggu pengumuman Istana Negara,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat khas membabitkan kepemimpinan UMNO di seluruh negara, hari ini.

Terdahulu, Dr. Mahathir menerusi sidang media dilaporkan berkata, Yang di-Pertuan Agong tidak menemui mana-mana individu yang memperoleh majoriti jelas untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.

Susulan itu, Ahli Parlimen Langkawi berkenaan menjelaskan satu sidang khas Dewan Rakyat akan diadakan Isnin ini bagi memilih Perdana Menteri yang baharu.

Al-Sultan Abdullah sebelum ini dilaporkan berkenan menemubual 221 Ahli Parlimen, sejak Selasa lalu bagi mengenal pasti calon Perdana Menteri, selain sama ada mereka memilih untuk membubarkan Parlimen supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan.

Bagaimanapun, sehingga kini, baginda belum menitahkan sebarang keputusan hasil penelitian mengenai kemelut politik negara. – BH Online

Loading...