UMNO Timbang Tarik Diri Sokong PN

KUALA LUMPUR – UMNO mempertimbangkan menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN) dan memberi syarat baharu untuk meneruskan kerjasama politik.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi parti yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“UMNO membuat pertimbangan menarik diri daripada menyokong PN dan akan memberi syarat baharu kepada PN bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.

“UMNO akan terus berjuang demi kepentingan rakyat untuk memastikan pandemik Covid-19 dapat ditangani oleh kerajaan dan pihak berkaitan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat serta negara,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, UMNO juga berpandangan bahawa kestabilan politik penting selain meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

“Sebarang keputusan dilakukan adalah untuk manfaat rakyat, agama, bangsa dan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian akan diadakan serentak di seluruh negara pada 6 hingga 8 November depan.

Manakala Perhimpunan Agung UMNO Malaysia pula dijangka diadakan pada 17 hingga 19 Disember depan. – myMetro Online

Loading...