UMNO Tidak Dahagakan Kuasa

PETALING JAYA – UMNO menarik balik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri bukan kerana dahagakan kuasa.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jika dahagakan kuasa lebih wajar UMNO berpaut kepada individu yang memegang kuasa ketika ini.

“UMNO tidak boleh jadi `pak sanggup’ menadah kegagalan kerajaan PN (Perikatan Nasional).

“UMNO perlu mengutamakan kepentingan rakyat dan negara walaupun terpaksa menongkah arus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid mendakwa, UMNO secara halus cuba dikambing hitamkan di atas kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau mendakwa, rakyat sudah tidak tertanggung dengan kesusahan hidup dan negara perlu dipulihkan segera.

Dakwa beliau, keadaan perlu diperbetulkan dari peringkat atas kerana “kapal belayar mengikut percaturan nakhoda”.

“Perlu dilakukan “adjustment” supaya aspirasi rakyat dapat kembali ke landasan secepat mungkin,” katanya.

Jelasnya, UMNO tidak boleh berpeluk tubuh melihat kesukaran hidup rakyat dan peningkatan berterusan kes Covid-19 yang menjejaskan ekonomi. – K! ONLINE