UMNO Tidak Akan Diharamkan – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – UMNO tidak akan diharamkan walaupun terdapat beberapa usaha dan cubaan untuk memansuhkan parti Melayu itu dari negara ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cubaan pihak tidak bertanggungjawab itu semata-mata untuk melemahkan semangat ahli parti di seluruh negara.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan seluruh ahli UMNO supaya tidak perlu bimbang atau goyah dengan usaha jahat tersebut, sebaliknya terus kuat dan bersatu.

“Yakinlah UMNO tidak akan diharamkan. Bicara kes pun belum lagi sudah keluar kenyataan kononnya parti ini akan dan bakal diharamkan.

“September nanti pun, bukan perbicaraan kes tetapi hanya pengurusan kes. Peguam akan bertukar-tukar dokumen sahaja,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Pewakilan UMNO Bahagian Lembah Pantai di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Ramlan Askolani dan Timbalan Yang Dipertua PAS Lembah Pantai, Fauzi Abu Bakar.

Jelas Ismail Sabri yang juga Ketua Pembangkang, sekiranya UMNO diharamkan sekalipun, kepemimpinan parti telah merangka langkah berjaga-jaga demi perpaduan ahli.

“Apa jadi sekali pun kita sudah ada persediaan, kalau ya UMNO diharamkan, semua ahli akan masuk menjadi ahli Barisan Nasional (BN) secara automatik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...