UMNO Tiada Kerjasama Dengan DAP, PKR

PADANG TERAP – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan parti itu tidak akan bekerjasama dengan DAP atau PKR.

Beliau berkata, tiada perbincangan kepimpinan tertinggi yang cuba membawa kerjasama berkenaan.

“Sebagai Naib Presiden, saya boleh katakan tidak ada mana-mana perbincangan melibatkan kepimpinan tertinggi yang cuba membawa kita untuk mengadakan kerjasama bersama DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita tetap berpendirian untuk menolak daripada bekerjasama dengan DAP dan PKR seperti yang sudah diputuskan Majlis Tertinggi UMNO iaitu ‘no DAP, no PKR.

“UMNO akan terus kekal dengan piagam Muafakat Nasional (MN) dan mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Padang Terap di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa bahawa wujud cubaan mengubah pendirian Barisan Nasional (BN) menolak PKR dan DAP.

Annuar berkata, gerakan menggagalkan dasar ‘no Anwar, no DAP’ sedang berjalan dengan menggunakan akuan bersumpah (SD).

Sementara itu Mahdzir berkata, langkah UMNO Pulai yang mahu mengusulkan supaya parti itu menolak kerjasama dengan PN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ialah hak mereka.

Katanya, UMNO sebagai parti yang matang sentiasa meraikan perbezaan pandangan dalam membuat keputusan.

“Perkara dinyatakan (Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor) Datuk Nur Jazlan Mohamed belum menjadi dasar parti kerana tiada keputusan dibuat biro politik UMNO mahu pun Majlis Tertinggi. 

“Namun ini perkara yang yang menarik dalam UMNO kerana kita sentiasa meraikan perbezaan pendapat dan tak salah memberi pendapat yang berbeza kerana itu sememangnya menjadi hak mereka,” katanya. – BH Online