UMNO Tangguh Mesyuarat 21,039 Cawangan

SHAH ALAM – UMNO memutuskan kesemua mesyuarat UMNO cawangan di seluruh negara ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, keputusan penangguhan mesyuarat melibatkan 21,039 UMNO cawangan itu adalah sebagai langkah berhati-hati akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang diisytiharkan pandemik ketika ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat melalui mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UMNO yang diadakan hari ini.

“Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan UMNO pada hari ini membuat keputusan berikut iaitu menangguhkan mesyuarat 21,039 UMNO cawangan di seluruh negara kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

“Ini sebagai langkah berhati-hati akibat penularan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad berkata, selain penangguhan mesyuarat UMNO cawangan seluruh negara, pengurusan tertinggi parti itu turut tidak menggalakkan penganjuran semua program UMNO yang melibatkan orang ramai.

“Semua program UMNO yang melibatkan orang ramai tidak digalakkan buat masa ini dan dinasihatkan agar ditangguhkan,” katanya. – Sinar Harian

Loading...