UMNO Sokong Padu Zahid Kekal Sebagai Presiden

TEGUH… UMNO bukan sahaja akan terus menerima Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden parti, malah akan memberikan sokongan padu kepada beliau.

Tegas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat parti itu malam tadi yang dipengerusikan oleh Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut beliau, UMNO melihat situasi pendakwaan pihak berkuasa terhadap Ahmad Zahid sebenarnya membuktikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada ketika ini lebih mengamalkan ‘pendakwaan politik berpilih’.

“Kita (UMNO) tidak akan mengambil apa-apa tindakan kepada Presiden. Malahan kita akan menunjukkan sokongan padu terhadap beliau.

“Ini pada kami adalah apa yang dikatakan sebagai pendakwaan politik berpilih. Jika pemimpin mereka (PH), seorang demi seorang dibebaskan. Jika pemimpin UMNO, seorang demi seorang diheret ke mahkamah.

“Ini adalah bukti ia merupakan ‘selective political prosecution’ yang tidak patut dilakukan. Hentikanlah segala perkara-perkara membalas dendam seumpama ini.

“Kami bukan hanya menerima beliau (Ahmad Zahid) terus jadi Presiden, malahan kami akan sokong beliau,” kata ahli Parlimen Pontian itu ketika ditemui media di lobi Parlimen, pada Khamis.

Untuk rekod, Ahmad Zahid akan dipanggil sekali lagi ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) buat kali keenam hari ini dan berkemungkinan besar akan didakwa di Mahkamah pada Jumaat.

Sementara itu Pergerakan Puteri UMNO Malaysia melihat perkembangan tersebut sebagai tindakan terdesak kerajaan PH untuk alih pandangan dan kemarahan rakyat terhadap siri penipuan janji manifesto yang gagal ditunai.

Menurut ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan, kerajaan PH telah menyalahgunakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Ia berjaya dieksploitasi dengan sehabis mungkin untuk memberi tekanan kuat kepada seorang demi seorang musuh politik mereka termasuk Presiden UMNO yang juga ketua pembangkang di Dewan Rakyat.

“Adakah prinsip ‘Rule of Law’ yang dilaung benar-benar diamalkan untuk memberi keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia? Atau akan berterusan dengan pendakwaan terpilih dan politik dendam?

“Kami Pergerakan Puteri UMNO terus berdiri teguh di belakang Presiden dan akan tetap bersama beliau walau berhadapan situasi sukar ditekan sang pemerintah zalim,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru itu, beliau menyeru ahli Puteri UMNO untuk turun beramai-ramai ke Mahkamah Kuala Lumpur Jumaat ini dengan berpakaian warna merah untuk menunjukkan solidariti kepada Ahmad Zahid. – Mynewshub.TV

Loading...