UMNO Sanggup Bekerjasama Dengan Parti Lain

KUALA LUMPUR – Pintu UMNO sentiasa terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan sebarang parti politik asalkan prinsip UMNO tidak tergadai dan parti itu tidak dibubarkan, kata Presiden parti itu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Hari ini, UMNO menjadi pembangkang. Sebagai pembangkang, kita harus bertaut dengan rakan-rakan pembangkang yang lain. Sudah lama kita melakukan kerjasama politik ataupun tahaluf siyasi dengan MCA, MIC, MyPPP, PBRS dan parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN).

“Kita akan meneruskan kerjasama dalam Gagasan Pembangkang seperti PAS atas semangat ta’awun, iaitu kerjasama untuk kemaslahatan bersama, tidak terikat dan bebas dengan cara yang tersendiri,” katanya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam ini.

Ahmad Zahid berkata BN akan dijenamakan semula sebaik sahaja rundingan dengan rakan-rakan komponen sedia ada selesai dan dimuktamadkan.

“Cadangannya, parti gabungan ini bakal dianggotai parti-parti teras merangkumi UMNO, MCA, MIC, MyPPP dan PBRS​​​​​​; parti-parti gabungan lain yang memahami aspirasi dan idealisme perjuangan bersama; parti politik mesra UMNO; Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan individu ahli langsung iaitu pendekatan individu boleh menjadi ahli BN tanpa melalui mana-mana parti politik,” katanya.

Dalam ucapan itu, beliau turut berkata UMNO tidak perlu membuka keanggotaannya kepada kaum-kaum lain untuk kekal relevan.

“Masyarakat Malaysia sejak dari dahulu sehingga sekarang, tinggal di dalam kelompok dan komuniti masing-masing, dan ia masih kekal begitu. Kebersamaan kita dalam Perikatan dahulu, dan kini dalam Barisan Nasional adalah suatu bukti bahawa kita menghargai peranan parti-parti yang berlandaskan kepada kepelbagaian kaum. UMNO akan terus kekal menjadi parti orang Melayu dan bumiputera,” katanya.

Ahmad Zahid turut mencadangkan supaya jawatan Presiden parti itu dihadkan kepada dua penggal sahaja, selaras dengan manifesto beliau ketika pemilihan Presiden dan kepimpinan parti.

Katanya selain itu, UMNO juga perlu melakukan usaha ke arah peremajaan parti dan bagi mewujudkan kesedaran politik pada peringkat lebih awal, maka adalah dicadangkan had umur keanggotaan parti diturunkan daripada 18 tahun kepada 16 tahun.

“Hala tuju UMNO sekarang adalah untuk menang dan kembali berkuasa. inilah hala tuju kita! Jika kita boleh membentuk kerajaan, segala yang ingin kita lakukan untuk kebaikan negara mampu dilaksanakan.

Ada pihak yang mempersoalkan kenapa saya banyak berdiam dan perlahan dalam menentukan hala tuju UMNO. Maaf! Sebenarnya, saya perlu memberi tumpuan kepada kerja-kerja pengurusan dalaman parti, terutamanya bagi mengekang usaha-usaha melemahkan UMNO,” katanya.

Mengenai cadangan pemberian autonomi kepada UMNO Sabah, Ahmad Zahid berkata pada dasarnya pihaknya menerima syor-syor tersebut dan mesyuarat agung luar biasa akan diadakan bagi memutuskan perkara ini dan perkara-perkara lain yang memerlukan pindaan Perlembagaan UMNO. – BERNAMA

Loading...