UMNO Perlu Telus Sepanjang Proses Pengundian

BUDAYA politik wang perlu diperangi sepenuhnya bagi mengukuhkan semula kewibawaan UMNO untuk bangkit dari kekalahan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas.

Menurut portal Berita Harian, Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, menerusi proses pemilihan jawatan Majlis Tertinggi pada 30 Jun ini, kesedaran seiring usia parti menjengah lebih tujuh dekad itu mampu diterapkan.

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub.

“Perwakilan perlu menolak calon yang menggunakan wang untuk membeli undi dan membuat laporan kepada Jawatankuasa Disiplin UMNO untuk tindakan lanjut.

“Kita juga berharap calon tidak akan menggunakan ‘warlord’ sebagai ejen mereka, selari tekad UMNO untuk memerangi politik wang kerana golongan inilah yang selalunya membeli undi perwakilan.

“Veteran mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengawasi kempen yang dijalankan bagi mengelak perlakuan sogokan politik wang dalam kalangan calon,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mustapha berpandangan, calon yang bertanding jawatan utama seperti Presiden, Timbalan dan Naib perlu menghantar wakil mereka semasa proses pengiraan undi di semua bahagian.

Jawatankuasa Pemilihan UMNO perlu mengendalikan proses pengundian secara bersih dan telus, tanpa terpalit dengan penipuan kiraan undi yang pernah berlaku dalam sesi pemilihan terdahulu.

“Veteran UMNO berharap pertandingan merebut jawatan di semua peringkat dalam pemilihan pada 30 Jun ini akan berjalan dalam suasana muhibah dan penuh persaudaraan antara mereka yang menawarkan diri untuk bertanding.

“Elakkan serangan peribadi dan memburukkan lawan dalam usaha untuk mewujudkan satu pertandingan yang sihat,” ujarnya. – MYNEWSHUB.CC