UMNO Perlu Halusi Cadangan Pemuda Agar Zahid Berehat

KUALA LUMPUR – UMNO perlu memperhalusi cadangan Ketua Pergerakan Pemudanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki supaya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercuti dan berehat seketika daripada menjalankan tugas sebagai presiden parti sehingga kes beliau selesai di mahkamah.

Penganalisis politik Md Shukri Shuaib berkata cadangan Pemuda UMNO itu perlu dibincangkan di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi bagi mendapatkan keputusan muktamad daripada semua anggota.

“Ini kerana sayap (Pemuda UMNO) perlu dihormati dan jangan sesekali abaikan pandangan mereka.

“Cadangan Pemuda UMNO itu berasas dan bersebab. Dalam konteks ini mana-mana parti harus peka dengan perlembagaan parti masing-masing. Sesebuah parti mesti ditadbir secara kolektif,” kata Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya, sebarang keputusan yang diambil perlu dilihat kepada situasi semasa dan bukan bertujuan melindungi atau atas dasar kepentingan mana-mana pihak.

Semalam, Pemuda UMNO menggesa Ahmad Zahid mempertimbangkan untuk bercuti buat seketika daripada menjalankan tugas sehingga kes di mahkamah selesai.

Asyraf Wajdi berkata berkata cadangan itu bertujuan memberi peluang kepada Ahmad Zahid yang berdepan tuduhan rasuah dan pecah amanah, untuk menumpukan usaha membersihkan nama di mahkamah.

Bagaimanapun, cadangan tersebut mengundang pelbagai reaksi termasuk dalam kalangan pemimpin UMNO serta netizen.

Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa menganggap pandangan yang dikemukakan Pemuda UMNO itu memberi gambaran jelas tentang ‘keterbukaan’ parti yang kini berusia tujuh dekad itu.

“Tak salah Pemuda mahu memberi cadangan. Mereka memilih untuk menggunakan media dan bukan saluran dalaman seperti bersemuka, biro politik, jawatankuasa pengurusan atau MKT (Majlis Kerja Tertinggi).

“Terserah pada yang menilai, juga tidak salah untuk presiden membuat pendiriannya sendiri kerana itu haknya. UMNO kini lebih terbuka,” katanya dalam catatan di laman Twitter.

Sementara itu, anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berpendapat cadangan berkenaan hanya releven sekiranya UMNO adalah parti pemerintah.

“Dalam landskap politik hari ini di mana UMNO merupakan parti pembangkang dan tidak boleh mempengaruh proses undang-undang di mahkamah mahupun peguam negara, maka tidak perlu presiden parti direhatkan,” katanya.

Beliau juga mahu semua anggota parti bersama-sama mempertahankan presiden UMNO itu sehingga selesai proses undang-undang di mahkamah.

Bagi Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan, pergerakan sayap UMNO itu mengutamakan kematangan bertindak dan sentiasa berbincang secara kekeluargaan bersama Jawatankuasa Pengurusan, Biro Politik dan Majlis Tertinggi.

Katanya Ahmad Zahid berhak mendapatkan keadilan selagi pihak mahkamah belum membuat keputusan perbicaraan.

“Puteri memahami cabaran bakal dihadapi oleh sesiapa sahaja yang menjadi ketua pembangkang, jadi kami percaya presiden UMNO mempunyai kebijaksanaan dalam menentukan pendiriannya,” katanya. – BERNAMA

Loading...