UMNO, PAS Setuju Daftar Muafakat Nasional

KUALA LUMPUR – UMNO dan PAS bersetuju mendaftar Muafakat Nasional secara rasmi dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Muafakat Nasional dalam satu kenyataan memaklumkan, kepemimpinan gabungan itu juga sepakat memberi komitmen untuk terus memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama antara parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Muafakat Nasional yang dijadualkan semalam, ditangguhkan seiring arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kepemimpinan Muafakat Nasional bersepakat secara bersama serta memberi komitmen untuk terus memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama antara parti sebagai persiapan menghadapi PRU-15.

“Kepemimpinan kedua-dua parti (UMNO dan PAS) bersetuju untuk mendaftarkan Muafakat Nasional secara rasmi dengan ROS,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Setiausaha Agung I yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung II merangkap Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan. – BH Online

Loading...