UMNO, PAS Dakwa Tommy Campur Tangan Inkues Adib

KUALA LUMPUR – UMNO dan PAS mendakwa arahan supaya peguam Syazlin Mansor menarik diri daripada mewakili kerajaan dalam prosiding inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim adalah satu campur tangan secara terbuka oleh Peguam Negara, Tommy Thomas.

Keadaan itu menyebabkan kedua-dua parti itu menzahirkan rasa bimbang dan ragu-ragu terhadap prosiding dan keputusan inkues yang diadakan.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malah mengangap tindakan itu akan menyebabkan rakyat merasakan seolah-olah pihak Peguam Negara dari awal lagi tidak bersetuju bahawa Muhammad Adib meninggal dunia akibat dipukul semasa bertugas berdekatan kawasan kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, dekat sini pada hujung November 2018.

“Ini adalah satu daripada kegagalan Peguam Negara (Tommy) daripada banyak kegagalan yang telah berlaku.

“Kami mendesak Perdana Menteri memecat Peguam Negara ini dan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) agar siasatan kematian Muhammad Adib dapat dilakukan seadilnya,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.

Tommy semalam menjelaskan, Syazlin menarik diri berada dalam kedudukan konflik kepentingan apabila beliau bersetuju untuk mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kerana beliau juga turut mewakili keluarga Allahyarham Muhammad Adib yang mempunyai kepentingan langsung dalam inkues.

Sementara itu Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dalam sidang akhbar yang sama berkata, partinya dan UMNO tidak mempolitikkan kes tersebut, sebaliknya hanya mahu membela seorang penjawat awam yang meninggal dunia ketika bertugas. – UTUSAN ONLINE

Loading...