UMNO Kekal Peroleh Semula RM194 Juta Disita SPRM

UMNO, Wanita MCA dan dua entiti perniagaan kekal memperoleh semula wang berjumlah RM194 juta yang disita daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua tahun lalu, sehingga rayuan kerajaan untuk melucutkan wang itu diputuskan Mahkamah Rayuan.

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini, menolak permohonan Pendakwa Raya untuk menggantung pelaksanaan perintah mahkamah sama yang sebelum ini memutuskan wang itu dikembalikan kepada keempat-empat pihak terbabit.

Wang berkenaan disita daripada UMNO, Wanita MCA dan dua entiti perniagaan iaitu syarikat Binsabi Sdn Bhd dan Perano Sdn Bhd oleh SPRM.

Ia dikatakan diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan menolak permohonan Pendakwa Raya selepas mendengar hujahan kesemua pihak dalam prosiding hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat ketika ditemui berkata, pihak pendakwaan akan mendapatkan arahan lanjut daripada Pejabat Peguam Negara sama ada untuk memfailkan rayuan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Samihah Ghazali dalam hujahannya berkata, pendakwaan merayu supaya wang itu tidak dilepaskan kepada semua responden sehingga rayuan kes melucut hak didengar dan diputuskan Mahkamah Rayuan.

Samihah berkata, ia adalah kerana, ia akan habis digunakan oleh responden bagi perbelanjaan pentadbiran dan kos guaman.

Katanya, mengikut afidavit jawapan responden, menyatakan bahawa wang berjumlah RM192 juta (disita daripada UMNO) akan digunakan untuk operasi pentadbiran dan ia (responden) memerlukan sumber lain sejak wang itu disita.

“Daripada jumlah itu, wang RM59 juta perlu dilepaskan bagi hutang untuk pembayaran gaji kakitangan, pembekal program UMNO, peruntukan pergerakan sayap dan kegunaan perhubungan UMNO negeri.

“Kalau jumlah itu dilepaskan, RM59 juta akan terus pergi kepada hutang daripada 25 Jun sehingga sekarang…saya pasti sekarang 2020, jadi kos pasti akan meningkat.

“Sejumlah RM48 juta pula iaitu 25 peratus daripada harta disita didepositkan bagi tujuan yuran guaman. Oleh itu, kami tidak akan dapat kembali kepada kedudukan sebelum ia dilepaskan,” katanya.

Peguam Hariharan Tara Singh yang mewakili UMNO pula berkata, dalam penghakiman sebelum ini, ada bukti menyatakan wang itu bukan daripada Najib atau hasil daripada aktiviti haram.

Beliau berkata, Pendakwa Raya tidak mempertikaikan aset dimiliki UMNO adalah melebihi nilai yang disita.

Katanya, pendakwaan hanya risau mengenai masa yang akan diambil untuk mencairkan aset bagi mengembalikan semula wang disita jika ia (pendakwaan) berjaya dalam rayuannya.

“Akaun yang dibekukan hanya bagi kos operasi dan pendakwaan tidak dapat menunjukkan, kami tidak boleh membayar balik wang itu disebabkan bankrap.

“Jika mahkamah rayuan dapati wang itu adalah milik 1MDB, kami boleh memulangkan semula dan mereka juga boleh meletakkan kaveat ke atas harta itu,” katanya.

Pada 7 Februari lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa wang UMNO yang dibekukan oleh kerajaan pada 2018 berjumlah hampir RM193 juta bukan daripada Najib yang dikaitkan dengan 1MDB.

Mohamed Zaini turut menolak permohonan Pendakwa Raya untuk melucut hak harta Wanita MCA, syarikat pembekal khemah Binsabi Sdn Bhd dan anak syarikat Jakel Trading, Perano Sdn Bhd, yang semuanya berjumlah RM1.4 juta.

Mahkamah memutuskan bahawa wang itu (yang didepositkan oleh Najib) sudah lama dibelanjakan dan wang yang tinggal adalah daripada sumber lain.

Mahkamah sehubungan itu memerintahkan supaya semua wang dalam akaun berkenaan dinyahbeku dan diserah kepada responden. – myMetro Online

Loading...