UMNO Jangan Tahu Main Politik Sahaja

KUALA LUMPUR – UMNO perlu mengangkat kepentingan rakyat sebagai keutamaan melangkaui politik kepartian ketika ini supaya parti Melayu terbesar itu dapat bergerak sebagai sebuah ‘jenama’ yang bukan tahu bermain politik sahaja. 

Ketua Penerangannya, Shahril Hamdan, berkata terlalu banyak spekulasi dan mainan politik yang sedang berlegar ketika negara berdepan krisis kesihatan yang sepatutnya dihentikan dan mula fokus terhadap rakyat serta masalah negara. 

Beliau berkata, dua perkara itu perlu didahulukan bagi memastikan negara benar-benar tenteram daripada penularan COVID-19 berbanding totok berpolitik. 

“Terlalu banyak spekulasi dan mainan politik yang berlangsung. Ramai pengamal politik yang dalam media menekankan perlunya fokus kepada rakyat, fokus kepada COVID-19, mendahulukan ketenteraman negara dan sebagainya. 

“Namun, dalam era politik masa kini, cakap mesti serupa bikin. Jika hanya cakap tidak mahu berpolitik 24 jam, tetapi tindakan sebaliknya, rakyat akan tambah meluat kepada orang politik. 

“Maka, kita yang menjadi pengamal politik khususnya UMNO ada tanggungjawab untuk cakap serupa bikin. Bermakna, masa kita, akal kita dan keringat kita perlu juga diluangkan kepada urusan-urusan perihal rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.

Mengambil kira keadaan semasa, Shahril berkata, ia sepatutnya mendorong orang politik lebih berfikir, berbahas, berbincang soal dasar dan pembangunan pro rakyat berbanding menghabiskan masa bermain politik. 

Katanya, soal taktikal politik seperti agihan kerusi, hendak berkawan dengan siapa, hendak jawatan apa, hendak dominasi apa dan bermacam-macam lagi, perlu diletak tepi kerana ia bukan perkara yang rakyat peduli ketika ini. 

“Jika tidak semua pun, pemimpin parti mesti ada pendirian dan daya pemikiran mendalam berhubung urusan kenegaraan. 

“Kalau sebaliknya, kita tidak ubah seperti ahli politik sepenuh masa yang hanya fikir kepentingan parti semata-mata, yakni memuaskan cita-cita kuasa, baik individu mahupun kepartian. 

“Ini adalah resipi kepada penolakan rakyat, terutamanya orang muda yang majoritinya tidak ada dan tidak mahu ada kesetiaan mutlak kepada mana-mana individu atau parti. Dalam soal ini, jenama tawaran UMNO amat mustahak,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau berharap UMNO tidak lagi hanya mementingkan pengikut setia ataupun pengundi parti itu sahaja, sebaliknya menumpukan kepada semua golongan. 

“Selepas ini, UMNO tidak lagi boleh mengendahkah mereka yang bukan sekapal dengan parti kerana pengundi yang tiada kesetiaan parti dan pengundi ‘sinis’ adalah kelompok yang berpotensi menjadi penentu keputusan pilihan raya umum,” katanya. – BH Online

Loading...