UMNO Jangan Ambil Kesempatan Video Seks

KUALA LUMPUR – Ahli, kepimpinan dan pendukung UMNO diingatkan agar tidak ambil kesempatan terhadap penyebaran video mirip seorang menteri.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, adalah menjadi amalan UMNO untuk memilih jalan yang baik dan berhikmah dalam setiap tindakan dilakukan.

“Oleh itu, rentetan tersebarnya video skandal orang berjawatan dalam kerajaan yang kini hangat diperkatakan di media sosial, saya menyeru dan menganjurkan supaya semua pemimpin, ahli dan pendukung UMNO untuk tidak terlibat.

“Apatah lagi mengambil kesempatan dan melakukan perkara yang hanya memburukkan keadaan. UMNO tidak akan terlibat dengan perkara yang mengaibkan mana-mana pihak dan tidak akan menjadi parti atau gerakan sosial yang menerima perkara sedemikian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kegagalan untuk berbakti dan menjalankan amanah rakyat adalah jauh lebih mengaibkan daripada sebarang skandal yang sarat dengan ketidakpastian

“UMNO akan memfokuskan masa dan tenaganya untuk terus menyantuni masyarakat dan membawa kepimpinan kepada bangsa ini,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar sebarang kekhilafan dilakukan mana-mana pihak akan berakhir dengan cara yang terbaik untuk semua. – Sinar Harian

Loading...