UMNO Harus Fikir Kepentingan Rakyat

KUALA LUMPUR – UMNO perlu memikirkan kepentingan rakyat sebelum mengambil tindakan meletak jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), kata Ketua Penerangannya, Shahril Sufian Hamdan.

“Adakah tarik diri sekarang adalah yang terbaik? Itu kena dibincangkan. Mungkin benda itu kita rasa terbaik untuk UMNO tapi ada kesannya kepada rakyat. Jadi UMNO kena juga memikirkan perkara itu dan saya yakin itu akan dipertimbangkan,” katanya.

Ditemui pemberita selepas menjadi ahli panel pada Forum Demokrasi Malaysia: ‘Merangka Masa Depan Demokrasi Parlimen di Malaysia’ di sini hari ini, Shahril berkata, tiada tempoh tertentu diberi kepada mereka yang memegang jawatan untuk melepaskan jawatan.

“Ogos itu antara satu tarikh yang disebut oleh seorang jurubahas (perwakilan) negeri dan logiknya kerana Ogos dijadualkan darurat tamat.

“Tapi hak atau pun keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan presiden tidak terikat kepada satu tarikh. Boleh jadi Ogos boleh jadi bukan Ogos,” katanya.

Susulan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 untuk menarik sokongan daripada kerajaan PN, Ahli Parlimen UMNO yang memegang jawatan menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet PN atau menyandang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) daripada parti itu disaran meletak jawatan.

Sementara itu, pakar Perlembagaan Persekutuan, Prof Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz, berkata peletakan jawatan menteri dan timbalan menteri UMNO daripada Kabinet kerajaan tidak akan menjejaskan komposisi Dewan Rakyat, tetapi ia mungkin memberi kesan besar kepada PN.

“Mereka hanya meletak jawatan disandang, bukan sebagai ahli Dewan. 

“Tetapi ia berkaitan. Sekiranya peletakan jawatan itu juga menunjukkan mereka menarik balik sokongan atau kepercayaan kepada kerajaan, maka ini akan memberikan kesan besar kepada komposisi kedudukan kerajaan itu sendiri,” katanya kepada pemberita pada forum itu.

Shamrahayu yang juga Penyandang Kursi Penyandang Kursi Institusi Raja-raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM), berkata setiap parti politik harus kembali kepada tujuan perjuangan mereka. 

“Sama ada PAS, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) atau PKR atau UMNO sekali pun, rujuklah kepada apa yang telah mereka janjikan kepada penubuhan parti politik itu sendiri.

“Saya fikir itu tindakan yang baik untuk menyatupadukan parti politik ini bukan hanya untuk kepentingan orang Melayu tetapi demi kepentingan kestabilan politik tanah air,” katanya. 

Justeru, beliau berkata, semua parti perlu mengelakkan tindakan yang boleh membawa kepada situasi negatif kepada negara termasuk pelaburan asing dan kedudukan ekonomi rakyat. – BERNAMA