UMNO Cabar Kerajaan Haramkan Dong Zong

KUALA LUMPUR – UMNO mencabar kerajaan mengharamkan Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) atas dasar menyelamatkan Malaysia daripada terjerumus dalam senarai negara bergolak atau tidak selamat apabila berlaku pertembungan entik, kaum dan agama.

Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, negara pasti tidak aman jika Dong Zong terus dibenarkan bersuara lantang, lebih-lebih lagi pertubuhan itu langsung tidak menghormati bangsa majoriti (Melayu) dan teras budayanya juga adalah Melayu.

“Ini Tanah Melayu dan majoritinya masih Melayu Islam. Jangan kerana sikap Dong Zong terlalu lantang ini bakal mengundang semula pertembungan kaum yang pernah berlaku pada 13 Mei 1969,” tegasnya dalam kenyataan kepada media.

Beliau turut memberi peringatan, sikap Dong Zong yang menjadi pelampau Cina kelak akan membakar kemarahan orang Melayu Islam yang boleh mengundang perpecahan antara kaum.

Kata beliau, sejak dahulu lagi jika ada isu berkaitan kaum Cina, Dong Zong akan menjadi juaranya dan pemain utama penentangan terhadap perkara berkaitan Melayu dan Islam.

“Apakah rakyat Malaysia yang sekarang ini di bawah kerajaan DAP-Pakatan Harapan (PH) akan berterusan berbicara dan dihidangkan dengan isu perkauman serta tuntutan melampau Dong Zong?

“Dalam soal tulisan khat dan Jawi, walaupun Perdana Menteri, telah membuat keputusan muktamad, kenapa masih timbul pertikaian dari Dong Zong, Ahli-ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP.

“Itu keputusan kerajaan yang turut diwakili DAP, kenapa perlu petisyen dan sebagainya dari Dong Zong? Kenapa sengaja mengaitkan isu Jawi dengan agama, sedangkan Jawi hanya tulisan Arab dan khat pula seni tulisan,” soal beliau.

Untuk rekod, Dong Zong merupakan salah satu Hua Tuan iaitu Persatuan-Persatuan Cina Utama Malaysia dari 2,065 persatuan Cina yang memainkan peranan mengemukakan tuntutan dalam Dokumen Siqiu.

Pelbagai tuntutan mempertikaikan hak keistimewaan Orang Melayu Bumiputera Islam dan perkara dalam perlembagaan cuba mereka ubah serta hapuskan untuk melenyapkan hak istimewa Orang Melayu.

Menurut Ismail Sabri, setiap perkara berkaitan orang Melayu menjadi masalah kepada Dong Zong sehingga ia dilihat sebagai pelampau Cina yang menjadi tangan jahat bagi pihak bangsa DAP.

“Apakah tulisan khat yang menjadi sebahagian dari budaya orang Melayu Islam seawal 1303 (Batu Bersurat Terengganu) itu dilihat sebagai ancaman kepada bangsa DAP?

“Apakah Dong Zong lupa Malaysia ini Tanah Melayu dan majoritinya juga Melayu Islam?” soal beliau.

Beliau yang juga Ketua Pembangkang menyatakan, cadangan kerajaan era Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sebelum ini untuk mewujudkan Sekolah Wawasan, yang meletakkan Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) dikumpulkan dalam satu kampus ditentang Dong Zong atas alasan tidak mahu budaya Melayu diterapkan kepada anak mereka.

Antara tuntutan lain Dong Zong dalam Siqiu ialah sistem kuota di universiti, penjawat awam, pinjaman dan bantuan pelajaran dihapuskan dan digantikan dengan sistem meritokrasi atau berasaskan kebolehan serta pencapaian.

Kata beliau, Dong Zong juga pemain utama menggesa kerajaan mengiktiraf Sijil UEC dan juga seawal pemerintahan kerajaan DAP-PH, ia turut menggesa bantuan kerajaan disalurkan kepada Sekolah-Sekolah Persendirian Cina (menengah dan rendah).

“Kerajaan DAP-PH ini secara terus merealisasikan tuntutan Dong Zong apabila memasukkan Sekolah Persendirian Cina sebanyak 60 sekolah dengan peruntukan RM12 juta dan di bawah peruntukan SJKC sebanyak RM50 juta.

“Peruntukan ini sebenarnya berada di luar sistem atau dasar Pendidikan Negara sebagai sekolah yang mendapat peruntukan kerajaan dan secara tidak langsung bertentangan dengan dasar kerajaan. Ini juga merupakan tuntutan yang ada dalam Siqiu.

“Tuntutan Dong Zong bukan lagi bersifat tuntutan, tetapi seolah suatu perkara yang harus diutamakan dalam kerajaan DAP-PH hari ini,” katanya.

Namun, tegas Ismail Sabri, untuk kepentingan mereka semuanya lulus dan “ok”, tetapi apabila sampai kepada orang Melayu Islam dalam bab tulisan khat, mereka menentang dan bersuara lantang dengan pelbagai cara. – MalaysiaGazette