UMNO, BN Tolak Pelawaan Mahathir Kerana DAP

KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang bersekongkol dengan DAP.

Penegasan itu dinyatakan Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang sekali gus menolak pelawaan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya parti-parti Melayu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, UMNO dan BN sentiasa bersikap terbuka, namun parti itu tidak dapat mengubah pendiriannya untuk tidak bekerjasama dengan DAP.

“Walaupun UMNO dan BN sentiasa bersikap terbuka untuk menerima realiti politik dalam apa juga situasi politik, namun tawaran yang kita perolehi secara terbuka tidak dapat diterima oleh UMNO dan BN.

“Kerana untuk menjaga perpaduan Islam dan Melayu, ianya harus dilihat dalam konteks kemajmukan masyarakat di Malaysia. Tentunya kita tidak dapat menerima sebarang pelawaan daripada parti, apatah lagi pemimpin parti yang bersekongkol dengan DAP,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau menambah, pegangan DAP terhadap konsep Malaysian Malaysia menyebabkan UMNO tidak akan dapat menerima parti itu.

“UMNO dan BN tidak dapat menerima jika DAP terus menguasai kerajaan yang ada hari ini.

“Apatah lagi DAP menterjemah agenda Malaysian Malaysia yang tidak dapat diterima oleh UMNO dan BN. Itu pendirian rasmi UMNO dan BN,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...