UMNO Bahagian Batu Tolak Kerjasama Dengan Bersatu

KUALA LUMPUR – Mengambil maklum dengan apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, UMNO Bahagian Batu mengambil ketetapan menolak kerjasama dengan Bersatu.

Ketua Bahagiannya, Datuk Yahya Mat Ghani berkata, pihaknya hanya mahu meneruskan kerjasama dengan PAS dalam Muafakat Nasional.

“Hanya ingin kekal bersama PAS dalam Muafakat Nasional (MN) dan seterusnya mengukuhkan kerjasama MN dengan menolak sebarang kerjasama politik dengan Perikatan Nasional (PN) dan juga kemasukan Bersatu kedalam MN.

“Berpendapat Bersatu tidak menambah sebarang kekuatan politik MN di Parlimen Batu malah dari maklum balas yang diterima kemungkinan besar sokongan terhadap MN akan berkurangan secara drastik lebih-lebih lagi dikalangan ahli-ahli UMNO Bahagian Batu sendiri sekiranya menerima kehadiran Bersatu.

“UMNO dan PAS Parlimen Batu juga sudah bersetuju secara dasarnya bahawasanya hanya antara calon UMNO atau PAS yang akan diketengahkan untuk calon PRU15 kelak kerana lebih diterima rakyat terutamanya orang-orang Melayu disamping mempunyai jentera pilihanraya masing-masing yang tersusun dan mantap,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Yahya, antara dakwaan kejadian di Sabah yang menyebabkan UMNO Batu menolak kerjasama dengan Bersatu adalah kerusi tradisi diserahkan, terdapat unsur sabotaj, ketiadaan dan kelemahan jentera parti dari pihak Bersatu, tiada keikhlasan/kejujuran dan tindakan menikam sahabat secara diam untuk kepentingan sendiri. – Mynewshub.TV

Loading...