Ummah Desak Peguam Negara Letak Jawatan

PUTRAJAYA – Gerakan Pembela Ummah (Ummah) hari ini menghantar memoradum kepada Peguam Negara, Tommy Thomas bagi mendesaknya meletakkan jawatan.

Memorandum tersebut diserahkan Pengerusinya, Aminuddin Yahaya kepada pegawai Pejabat Peguam Negara, Wasri Ahmad Sujani.

Aminuddin berkata, memorandum itu antara lain dengan alasan Tommy hilang integriti berhubung pengendalian beberapa isu termasuk membabitkan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim.

“Antara kandungan surat itu ialah Peguam Negara perlu meletak jawatan kerana beliau didakwa gagal mengendalikan beberapa kes seperti isu Statut Rom, cadangan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) serta kematian Adib.

“Tindakan ini antara lain bagi menuntut keadilan terhadap kematian Adib,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Dalam pada itu Timbalan Pengerusi Ummah, Kamaruzaman Mohamad berkata, susulan desakan tersebut, pihaknya akan mengarahkan cawangan Ummah di setiap negeri untuk membuat laporan polis berkenaan isu sama.

“Jika tiada sebarang maklum balas daripada Peguam Negara selepas Aidilfitri nanti, Ummah akan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri supaya Tommy dipecat.

“Jika masih tiada maklum balas positif, kemungkinan kita akan mengadakan perhimpunan perdana untuk mengumpul rakyat yang mahu keadilan buat arwah Adib,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...