Umat Islam Perlu Bina Semula Tamadun Agung – Ulama dunia

IPOH – Umat Islam perlu membina semula ketamadunan agung kerana ia dapat mengembalikan ‘izzah’ atau kuasa serta kemuliaan agama kepada ummah, kata Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia, Profesor Dr. Ali Muhyiddin Al-Qarah Daghi.

Beliau berkata untuk merealisasikan perkara itu, umat Islam perlu melaksanakan beberapa perubahan seperti yang disebut dalam al-Quran iaitu perubahan dalaman merangkumi hati, roh, nafsu, akal serta perubahan luaran meliputi akhlak dan tindak tanduk.

“Islam bukanlah semata-mata agama yang tersebar, sebaliknya ia adalah agama yang menghimpunkan akidah, syariah dan manhaj kehidupan.

“Islam telah merealisasikan tamadun yang besar dan kemajuan di dalam pelbagai bidang ilmu dan kajian, kesenian, pensyariatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertemakan ‘Menjulang Kemuliaan Umat: Sejarah, Wawasan dan Harapan’ yang perasmiannya disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Pusat Konvensyen Casuarina @Meru, di sini, hari ini.

Ucapan beliau yang dibacakan dalam bahasa Arab diterjemahkan oleh Ustaz Fauwaz Fadzil Noor.

Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, golongan ulama dan umara sentiasa bergabung tenaga dalam membentuk umat Islam yang berilmu dan bersilang kemahiran untuk memimpin ummah ke mercu kejayaan.

Katanya, kedua-dua golongan itu yang mewarnai ummah menyedari tanggungjawab besar mereka termasuk perlu kembali kepada jati diri keislaman menurut acuan syarak.

“(Ulama dan umara) tahu hak yang perlu dipertahan dan dituntut, faham beban yang perlu dipikul dan dijinjing bersama dengan penuh ikhlas dan amanah.

“Bak benih pokok yang tidak ditanam, manakan dapat buahnya. Hasil perjuangan generasi lampau menyaksikan ulama dan umara bergabung tenaga dan berpisah tiada dalam membentuk umat yang mulia,” katanya.

Loading...