Ulat Tiket Hanoi Lagi Hebat

GEJALA ulat tiket di Hanoi nampaknya lebih teruk berbanding di Malaysia.

Mereka ibarat lintah darat apabila menjual tiket final kedua Piala AFF antara Vietnam dan Malaysia di Stadium Nasional My Dinh berlipat kali ganda untuk mengaut keuntungan.

Ada ulat tiket yang menjual sekeping tiket mencecah AS$400 (RM1,673) berbanding harga sebenar berjumlah 200,000 dong (RM36).

Tinjauan Sukan NSTP mendapati ulat tiket mencari pelanggan di tepi jalan besar di luar stadium.

Penyokong Vietnam agak terdesak untuk mendapatkan tiket memandangkan Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF) hanya menjual 16,000 tiket menerusi dalam talian dan baki selebihnya diedarkan kepada penaja, syarikat korporat dan ahli gabungan mereka.

Jumlah sebenar tiket yang dijual tidak diketahui namun kapasiti stadium adalah 40,192 orang.

Sebelum ini isu ulat tiket timbul pada final pertama Selasa lalu meskipun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memperuntukkan 80,000 tiket.

Pada perlawanan itu, skuad Harimau Malaya seri 2-2 dengan Vietnam. – BH Online

Loading...