Ular Tersilap Makan Selipar Diletak Bawah Katil

PARAH… Seekor ular sawa di Brisbane, Australia nampaknya mungkin terkhilaf memilih makanan apabila ia menelan selipar seorang lelaki sebagai snek makan malamnya.

Kejadian itu berlaku di Haidlea baru-baru ini. Pasangan penangkap ular Sally dan Norman Hill dari N & S Snake Catcher dipanggil untuk menangkap reptilia itu selepas ia dilihat di sebuah rumah pada 23 Mac.

Menurut laporan laman sesawang stesen penyiaran tempatan ABC, seorang lelaki tua bersama seorang saudara beliau menemui ular tersebut sedang mereka mencari salah satu seliparnya yang hilang selama beberapa hari.

Sebaik sahaja mereka melihat terdapat benjolan berukuran kasut pada badan ular itu, mereka langsung teringatkan kasut yang hilang. Sally berkata ular sawa itu disyaki menelan kasut tersebut pada malam 21 Mac.

“Lelaki itu baru hendak tidur dan beliau biasanya meletakkan seliparnya di bawah katil. Apabila lelaki tersebut bangun pada keesokan harinya, sebelah seliparnya pula hilang,” kata Sally seperti yang dilaporkan ABC.

Mereka cuba mencari kasut itu dan tidak dapat menemuinya sehinggalah menemui pula ular itu beberapa hari kemudian. Reptilia tersebut ‘dikeluarkan’ dari tempat persembunyiannya oleh suami Sally iaitu Norman.

“Apabila kami menangkap ular itu, jelas sekali ia yang makan kasut tersebut, Anda dapat merasakan ‘getah’ dalam perutnya, anda boleh rasa adanya selipar itu melalui kulitnya.” – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Loading...