Ujian Litmus Mahathir

1. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menggesa isu pembelajaran penulisan Jawi dan kesenian Khat ditamatkan serta merta setelah Menteri-Menteri, Timbalan-Timbalan Menteri dan Perdana Menteri sendiri telah menghabiskan masa dan keringat selama hampir tiga minggu melayan kerenah golongan pendesak Dong Zong. Masa dan keringat selama tiga minggu tersebut adalah bagus sekiranya disalurkan untuk membina ekonomi negara, membantu anak muda dan merealisasikan janji-janji Manifesto Pakatan Harapan.

2. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) turut menzahirkan kekesalan di atas kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Menterinya, YB Dr. Maszlee yang dilihat berlembut dengan isu pembelajaran penulisan Jawi dan kesenian Khat di sekolah sehingga keputusan demi keputusan telah diperkotak-katikkan oleh golongan pendesak Dong Zong yang mengeluarkan kenyataan balas yang angkuh.

3. Walaupun pembelajaran penulisan Jawi dan kesenian Khat kini menjadi pembelajaran pilihan dan dikurangkan bilangan mukasurat daripada enam (6) kepada hanya tiga (3) mukasurat, Dong Zong masih tidak berpuas hati hingga digelar oleh Tun Mahathir sebagai kumpulan pendesak yang rasis. Dari sudut politik, isu pembelajaran penulisan Jawi dan kesenian Khat ini adalah “ujian litmus” Tun Mahathir terhadap pemimpin-pemimpin DAP.

4. Isu sekecil ini, yang hanya melibatkan 3 muka surat penulisan asas jawi dan kesenian khat telah menggegarkan pimpinan Pakatan Harapan dan menunjukkan belang sebenar pemimpin DAP. Slogan DAP Malaysian Malaysia hanyalah retorik politik. Pemimpin DAP bermati-matian menyokong Dong Zong walaupun sudah digelar rasis oleh Pengerusi Pakatan Harapan sendiri. Harus diingat, Dong Zong berusaha gigih untuk menentang dasar pendidikan satu aliran sekolah demi mempertahankan pendidikan bahasa ibunda Cina di samping menuntut keadilan dan kesaksamaan status dan kedudukan antara semua kaum dan etnik. Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Mahathir tidak nyanyuk ketika menggelarkan Dong Zong rasis.

5. Akhirnya, ujian litmus ini menunjukkan siapa sebenarnya DAP. Jelas pemimpin DAP dangkal terhadap dasar-dasar untuk menyatupadukan rakyat Malaysia sebagai satu Bangsa Malaysia, yang mana visi dan misi ini telah menjadi pelopor kepada Parti IKATAN Bangsa Malaysia. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menyokong 100% usul pembelajaran penulisan Jawi dan kesenian Khat untuk dimasukkan ke dalam silibus anak-anak kita kerana melalui ilmu pengetahuan dan pendidikan, rakyat akan saling mengenali tanpa mengira kaum dan bangsa. Akhirnya, masyarakat berbilang kaum yang bersatu-padu dapat diwujudkan.

Selamatkan Kembali Malaysia!

#SelamatkanKembaliMalaysia #SaveMalaysiaAgain #PemudaMemimpin

Shahir Adnan
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM)
Parti IKATAN Bangsa Malaysia merangkap
Pemuda Gagasan Sejahtera

Loading...