Ujian Integriti PDRM Di Seluruh Negara Mulai Ahad Ini

KUALA LUMPUR – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan ujian integriti di seluruh negara mulai Ahad ini untuk calon-calon bagi jawatan Inspektor Polis Gred YA13 (Lelaki), Konstabel YA1 (Lelaki dan Wanita) dan Konstabel Polis YT1 (Lelaki).

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara Datuk Asmawati Ahmad berkata calon-calon terlibat adalah mereka yang telah lulus ujian pemeriksaan fizikal Siri 2/2018 sahaja.

“Semakan status kelayakan ujian berkenaan boleh dibuat melalui sistem semakan online (SSO) PDRM di http://sso.rmp.gov.my/Ap/AP_SEARCH.aspx mulai hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata ujian integriti akan berlangsung pada tarikh dan lokasi seperti dinyatakan dalam surat panggilan.

Sehubungan itu, calon yang terpilih dikehendaki mencetak surat panggilan dari sistem SSO serta hadir pada tarikh dan lokasi yang dinyatakan dalam surat panggilan sebelum pukul 7.30 pagi dengan menyediakan semua keperluan yang dinyatakan semasa menghadiri ujian.

Asmawati berkata calon lelaki hendaklah berkemeja, bertali leher, mengenakan seluar gelap dan bersepatu manakala calon wanita hendaklah berpakaian sopan dan bersesuaian.

Katanya jeans, kemeja-T dan selipar tidak dibenarkan dan PDRM berhak menolak calon yang tidak memenuhi syarat yang ditetapkan. – BERNAMA

Loading...