UiTM Caj Kolej Kediaman Kerana Peruntukan Dipotong Kerajaan

SHAH ALAM – Keputusan mengenakan caj bayaran kepada kolej kediaman kepada pelajar pra diploma, diploma, Certified Accounting Technicians dan Sarjana Muda Sains (Kepujian) Senibina di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di dalam kampus susulan pemotongan peruntukan hampir RM500 juta oleh kerajaan.

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Emeritus Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim berkata, pemotongan peruntukan untuk universiti daripada pihak kerajaan itu bermula sejak 2017.

Katanya, caj bayaran tersebut dibuat bagi menampung perbelanjaan penyelenggaran dan penambahbaikan kemudahan kolej dan pelajar serta fasiliti pengajaran dan pembelajaran yang ada telah berusia melebihi 60 tahun.

“Disamping itu, pihak pengurusan universiti juga perlu sentiasa menaiktaraf kemudahan ini seiring dengan keperluan para pelajar universiti masa kini terutamanya di semua 35 kampus UiTM seluruh negara.

“Bagi memastikan kelangsungan universiti serta melahirkan lebih ramai graduan yang berdaya saing, UiTM sedang giat menjalankan transformasi berterusan dan peningkatan mutu penyampaian yang menyeluruh bagi mencapai aspirasi menjadi sebuah Universiti Premier yang bertaraf antarabangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, caj bayaran kolej kediaman di dalam kampus bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda telah mula diperkenalkan semenjak Disember 2005 lagi. 

Ujar Mohd Azraai lagi, perbincangan serta kajian terperinci bagi mengenakan caj kepada pelajar diploma telah mula dibuat sejak tahun 2014 dan pihak universiti telah mengambil keputusan untuk melaksanakan caj ini mulai semester September 2019. 

“Kadar bayaran yang akan dikenakan adalah sebanyak RM2, RM3 dan RM4 sehari bergantung kepada jenis bilik mengikut pilihan para pelajar.

“Namun, beberapa kelompok pelajar diberikan pengecualian iaitu pelajar daripada keluarga berpendapatan bawah RM2,500 beserta tanggunggan yang ramai, Pelajar Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Pelajar Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPK),” katanya. 

Jelas beliau, turut dikecualikan adalah pelajar badan beruniform, pelajar sukan yang mewakili negara dan diiktiraf oleh Kementerian Belia dan Sukan serta pelajar cemerlang daripada kelab atau persatuan yang mewakili negara dan memenangi pertandingan di peringkat antarabangsa.

Terdahulu, surat pekeliling Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Bilangan 5 Tahun 2019 mengenai Kenaan Caj Bayaran Kolej Kediaman tular dilaman sosial menerusi laman sosial rasmi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pekeliling tersebut kemudiannya menarik perhatian netizen laman sosial itu sehingga menerima 7,400 komen dan dikongsi 4,300 pengguna. – K! ONLINE

Loading...